Penangan lemang RM5

Iklan
Pembantu Muhamad Azmi, Muhammad Syafeed Ali, 21 menunjukkan batang lemang yang sedia untuk dibakar di gerai mereka di Kampung Bukit Nambua, Kuala Nerang.

KUALA NERANG - Seorang penoreh getah tidak menyangka lemang RM5 sebatang dijualnya di gerai tepi jalan Kampung Bukit Nambua di sini mendapat sambutan luar biasa.

Muhamad Azmi Mat Rejab, 32, berkata, kini dia berjaya menjual sehingga 200 batang lemang kepada penduduk setempat dan orang ramai yang melalui jalan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk menjual lemang pada Ramadan ini untuk menampung pendapatannya yang tidak menentu disebabkan harga getah murah.

Katanya, lemang dijual dengan harga murah kerana dia memahami keadaan ekonomi yang begitu terkesan sekarang berikutan penularan Covid-19 terutamanya bagi mereka yang bekerja sendiri.

Iklan

"Saya terfikir untuk menjual lemang pada RM5 sebatang dan tidak sangka sambutan begitu baik.

"Saya jual pada harga tersebut kerana saya faham ada mereka yang tidak mampu beli pada harga yang mahal seperti saya yang hanya bergantung hasil kepada menoreh getah sahaja," katanya.

Iklan

Muhamad Azmi berkata, usaha menjual lemang itu mendapat sokongan ibunya yang menyediakan beras pulut sebelum dia ke gerai kira-kira jam 1 petang untuk membakar lemang dan mula menjual dua jam kemudian.

"Selepas subuh saya akan keluar dengan tiga pembantu untuk mencari buluh lemang di sekitar kampung ini.

"Kami akan membersihkan buluh-buluh itu kerana akan digunakan terus pada sebelah petangnya," katanya.

Muhamad Azmi perlu menyediakan kira-kira 200 batang lemang sehari bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

Jelasnya, dia tidak mengurangkan bahan-bahan seperti santan dalam pembuatan lemangnya walaupun menjual pada harga yang lebih murah.

"Kebiasaannya lemang dijual pada harga RM10 sebatang tetapi saya tidak mahu ambil untung lebih sebab memikirkan ekonomi ramai orang yang masih tidak stabil," katanya.

Tambah Muhamad Azmi, dia bercadang untuk terus menjual lemang itu pada Ramadan tahun depan selepas mendapat sambutan yang menggalakkan.

Malah katanya, rezeki yang diperoleh pada tahun ini akan digunakan sebagai persediaan menyambut cahaya mata sulungnya tidak lama lagi.

Sementara itu, seorang pelanggan, Zainal Aziz Md Zaid, 46, berkata, harga yang dijual cukup berbaloi dengan saiz lemang dan rasanya juga turut diakui antara yang berkualiti pernah dinikmatinya.

Sebahagian pelanggan Muhamad Azmi yang membuat tempahan lebih awal bergambar kenangan di gerai lemang tersebut di Kampung Bukit Nambua, Kuala Nerang. Foto ihsan Zainal