Orang ramai mula terima normal baharu sambutan Aidilfitri

Iklan
Jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri dalam norma baru apabila jemaah pada jarak satu meter antara satu sama lain dalam saf semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan. -Foto Bernama

KANGAR - Sambutan Aidilfitri di Perlis tetap meriah dengan orang ramai dilihat dapat menerima normal baharu dalam menyambut 1 Syawal ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kemeriahan sambutan Aidilfitri kali ini masih dapat dirasai dengan orang ramai menyampaikan ucapan hari raya kepada saudara-mara dan rakan-rakan menerusi panggilan video.

Iklan
Iklan

"Raya tahun ini mungkin berbeza daripada sebelumnya, apabila ramai sanak-saudara dan anak cucu tidak dapat pulang beraya di kampung, namun gunalah kemajuan teknologi dan komunikasi untuk bertanya khabar di alam maya dengan membuat panggilan video bagi mengubat rindu,” katanya ketika dihubungi Perlis FM (RTM Perlis) menerusi program Salam Anak Perlis pagi ini.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menasihati orang ramai yang ingin mengunjungi sanak-saudara pada hari raya pertama agar menjaga jarak sosial, memakai pelitup separuh muka dan mengguna pensanitasi tangan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Iklan

"Kita perlu ikuti arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan jika ingin menang sebab penyakit ini amat berbahaya, jika dibiarkan ianya akan menular dan mendatangkan kesan kepada kesihatan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada rakyat Perlis kerana berjaya mengekalkan negeri ini sebagai negeri zon hijau serta petugas barisan hadapan yang berkorban demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

"Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya kepada rakyat Perlis amnya dan penduduk Padang Besar khususnya dan memohon maaf jika ada kesilapan besar atau kecil,” katanya.

Iklan

Zahidi turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada penyebaran berita palsu kerana ia boleh menyebabkan timbul fitnah serta menjejaskan keharmonian. -Bernama