KUALA LUMPUR - Padah buat enam lelaki apabila mereka ditahan polis ketika berlumba di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun itu ditahan menerusi Ops Samseng Jalanan bermula jam 12.01 tengah malam hingga jam 3 pagi tadi.
Menurutnya, kesemua tangkapan terbabit dikesan menunggang secara melulu selain melakukan aksi berbahaya.
"Antara aksi yang dilakukan adalah ‘fly’, ‘superman’, ‘zig zag’, roket dan bersaing sesama sendiri.
"Semakan mendapati, tangkapan terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai pekerja penghantar makanan, pemandu lori, peniaga, pengawal keselamatan, penganggur dan pekerja penghantar barang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain itu, tiga penunggang terbabit juga tidak mempunyai lesen.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.