BEKAS pertahanan Manchester United, Mikael Silvestre mendedahkan punca David Beckham meninggalkan Manchester United dan menandatangani kontrak dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid pada 2003.
Menurutnya, antara sebab utamanya adalah insiden apabila kasut pengendali United ketika itu, Alex Ferguson terkena muka Beckham sehingga mencetuskan pertengkaran antara kedua-dua mereka.
Kata Silvestre, kejadian tersebut berlaku ketika United tewas kepada Arsenal dalam saingan Piala FA 2003 dan Ferguson memarahi semua pemain di bilik persalinan Old Trafford.
"Kerana terlalu marah, Ferguson menendang sehingga menyebabkan kasutnya tercabut dan melayang terkena Beckham.
"Saya ada di sana pada ketika itu.Semua orang terkejut, tetapi hal-hal seperti ini biasa terjadi di ruang ganti. Cuma kasut tersebut terkena ke muka Beckham dan ia menjadi perkara yang serius.
"Dia (Beckham) sangat marah dan kami harus menenangkannya dan selepas itu ia berakhir dengan baik," katanya.
Silvestre juga percaya insiden itu menjadi titik tolak kepada Beckham untuk berpindah ke Real pada penghujung musim.
"Sudah tentu perkara itu mempengaruhi hubungan mereka. Mungkin itu menjadi alasan mengapa Beckham tinggalkan United pada musim panas dan menandatangani kontrak dengan Real Madrid
"Ferguson memang terkenal dengan sikap marahnya itu, namun ia perkara wajar kerana pengurus lain pun membuat perkara yang sama," katanya.