SHAH ALAM - Perbezaan fahaman agama dan warna kulit tidak menghalang Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan (PKSP) melahirkan keprihatinan dengan melakukan kerja-kerja amal membantu umat Islam dalam kesusahan sempena perayaan Aidilfitri kali ini.
Lebih menarik, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) bukan alasan untuk PKSP berdepan kesukaran memberikan bantuan barangan keperluan harian kepada 200 keluarga memerlukan di sekitar kawasan Lembah Klang.
Setiausaha PKSP, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, pertubuhan itu akan terus memberikan bantuan khususnya kepada ibu tunggal, golongan kurang upaya dan warga emas tanpa mengira agama dan bangsa.
Menurutnya, ramai rakyat kurang bernasib baik susulan keadaan ekonomi mencabar akibat pandemik Covid-19 ketika ini dan menjadi tugas badan bukan kerajaan (NGO) seperti PKSP untuk membantu kerajaan membela kebajikan mereka.
"PKSP ini telah ditubuhkan untuk mendokong dan membela rakyat yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Pertubuhan ini menjalankan program keprihatinan bukan setakat di musim perayaan sahaja malah pada waktu-waktu yang lain seperti bantuan golongan berpendapatan rendah (B40) dan juga yang memerlukan bantuan dari segi pendidikan, keusahawanan, dan program-program kebajikan lain.
"Kami amat bersyukur kerana masih ada pihak berhati mulia dapat membantu PKSP dari segi penyumbangan barangan barang keperluan harian, seterusnya memastikan 200 golongan memerlukan dapat menyambut perayaan Aidilfitri seperti umat Islam lain," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sara Chinnasamy yang juga seorang penganalisis politik berkata, PKSP juga beraspirasi untuk membantu meringankan beban rakyat yang susah serta menjadi ikon penyemai semangat perpaduan dan penjadi pemangkin kepada peningkatan individu dan kolektif secara langsung.
Menurutnya, di samping membuat kerja-kerja hebahan penganalisis politik dan media sosial kepada masyarakat menerusi kerja-kerja penyelidikan dilakukan, beliau secara peribadi merasakan agak penting untuk menyelami kehidupan harian golongan memerlukan seperti ibu tunggal, warga emas dan golongan kurang upaya.
"Agak penting untuk kita mengetahui masalah dan rintangan kehidupan harian mereka di peringkat akar umbi dengan saya sedikit sebanyak dapat memberikan bantuan melalui PKSP.
"Selain itu, PKSP akan membantu berterusan mengambil inisiatif untuk meneruskan khidmat masyarakat khususnya pendidikan juga termasuk pelajar-pelajar terpinggir dalam akademik, asas untuk mendapatkan pendidikan sebagai teras kejayaan," katanya.