PUTRAJAYA - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bakal dijadikan kawasan pusat kuarantin khusus untuk kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikenal pasti positif wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti peningkatan kes positif jangkitan Covid-19 di tiga depot imigresen iaitu Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih dan Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, jumlah penghuni kesemua depoh imigresen itu adalah berjumlah 4,342 orang dengan kesemua mereka yang dikenal pasti positif Covid-19 akan diasingkan serta-merta dari rakan tahanan lain bagi mengelakkan penularan wabak virus itu.
"Susulan keputusan terkini itu, kita bertindak memindahkan kesemua rakyat Malaysia yang dikuarantin di MAEPS sebelum ini ke Hospital Sungai Buloh, Selangor kerana kita tidak mahu ada percampuran antara rakyat kita dengan PATI terbabit.
"Kerajaan juga telah mengarahkan pemasangan kawat duri di sekeliling kawasan pusat kuarantin MAEPS bagi mengelakkan mana-mana PATI yang dikuarantin cuba melarikan diri.
"Tindakan itu penting kerana kesemua PATI tidak mempunyai dokumen pengenalan dan perjalanan diri sah dan sekiranya mereka berjaya bertindak meloloskan diri, sukar untuk kita mengesan mereka semula," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, mereka disahkan positif hanya membabitkan PATI yang ditahan atas kesalahan imigresen dan tidak melibatkan pegawai imigresen.
Menurutnya, saringan Covid-19 juga akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan setiap PATI termasuk pegawai imigresen dan mereka yang ada kaitan dengan operasi depoh itu akan menjalani ujian swab.
"Orang ramai juga tidak perlu bimbang mengenai penularan Covid-19 dari kalangan PATI tersebut kerana depot-depot Imigresen ini merupakan tempat terkawal.
"Kalau DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah umumkan peningkatan kes (petang ini), saya percaya angka peningkatan yang tinggi (dicatatkan hari ini) adalah disebabkan PATI, bukan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.