Sebut saja nama restoran yang buat salah, kata Perusim

Iklan
Hussein (duduk, tiga kiri) bersama jawatankuasa Perusim ketika sidang media berkenaan, hari ini
JOHOR BAHRU - Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor (Perusim) memohon pihak berkuasa menyebutkan dengan jelas nama restoran yang didapati telah melanggar kesalahan.

Setiausahanya, Hussein Ibrahim berkata, perkara itu adalah untuk mengelakkan kesemua restoran 'mamak' lain terus disalah anggap serta terkena tempias dengan kesalahan yang dilakukan.

"Melihat daripada apa yang dilaporkan dalam berita baru-baru ini, kita amat sedih kerana masyarakat atau pelanggan sudah memandang serong dengan industri perniagaan restoran mamak.

Iklan
Iklan

"Apa yang kami harapkan, pihak berkuasa semasa membuat operasi atau siasatan, pastikan nama mamak itu disebut, bukannya menggunakan perkataan mamak secara pukul rata sehingga menjejaskan pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas, di Hotel M-Suites, di sini, hari ini.

Iklan

Hussein berkata, pihaknya juga mempersoalkan modus operandi operasi besar-besaran yang sedang dilakukan pihak berkuasa.

"Kami mahu penjelasan, ia berikutan tindakan itu telah menimbulkan keraguan dan tanda tanya kepada pelanggan-pelanggan," katanya.

Iklan

Katanya, disebabkan masalah dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, pengusaha restoran mamak yang sah terpaksa menanggung rugi kerana kehilangan pelanggan yang ramai.

"Tidak dinafikan perkara ini (mamak palsu) memang ada, tetapi disebabkan pandangan sinis itu kami yang lain juga terpaksa menanggung rugi.

"Ditambah dengan larangan merokok yang telah dikuatkuasakan, kami pengusaha mamak boleh kata 20 peratus pelanggan kami hilang, ia satu kerugian yang besar," katanya.

Tambahnya, pihaknya tetap bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan sebarang kemelut dan persoalan.

"Perusim ditubuhkan sejak 15 tahun lalu, dan kami mempunyai 338 ahli yang mana 200 daripadanya adalah pengusaha restoran mamak.

"Kami bersedia memberi kerjasama untuk membantu atasi masalah ini, jadi diharapkan pihak berkuasa dapat menghubungi kami sendiri untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu yang berlaku," katanya.