470 individu ditahan langgar PKPB

Iklan
Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas negeri ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memantau kenderaan yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut perayaan Aidilfitri ketika tinjauan Bernama di Plaza Tol Alor Setar (arah utara). - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 470 individu atas kesalahan melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setakat semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 87 individu telah direman manakala 23 individu dijamin atas kesalahan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 383 individu atas kesalahan melanggar SOP.

"Justeru semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.

Iklan

"Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM telah membuat 60,528 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPB di seluruh negara semalam.

Iklan

Menurutnya, sebanyak 3,675 pasar raya, 3,102 restoran, 330 penjaja dan 753 kilang serta 3,742 bank telah diperiksa dengan pemeriksaan turut dibuat di 1,022 terminal pengangkutan darat, 168 terminal pengangkutan air dan 101 terminal pengangkutan udara.

"Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 23,633 buah kenderaan persendirian, 1,318 kenderaan awam dan 19 vessel. Turut diperiksa adalah 1,192 pasar awam, 4,720 tempat ibadah, 1,392 tempat riadah dan 247 tapak binaan.

"Sebanyak 2,876 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 15,023 anggota," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memuji komitmen ditunjukkan semua petugas barisan hadapan seperti PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan operasi pematuhan PKPB dan operasi sanitasi bangunan pada hari raya pertama Aidilfitri.