Kelainan sambut Aidilfitri dengan normal baharu

Iklan
Gambar hiasan -Foto Bernama

HARI ini masuk hari ketiga Hari Raya Aidilfitri yang disambut dengan suasana sangat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ternyata sambutan hari raya dengan normal baharu tetap meriah walaupun aktiviti solat sunat hari raya di masjid, ziarah-menziarahi, balik kampung dan rumah terbuka terpaksa dihadkan demi membendung musuh ‘halimunan’ itu.

Iklan
Iklan

Keindahan Aidilfitri masih dapat dirasai walaupun tidak dapat bertemu keluarga di kampung namun dengan bantuan teknologi dan komunikasi, masih boleh bertanya khabar dan mengucapkan selamat hari raya kepada saudara-mara dan rakan-rakan menerusi panggilan video.

Pada tahun ini juga kita tidak mendengar mengenai kesesakan luar biasa lalu lintas lebuh raya seperti kebiasaan kerana pada 10 Mei lalu kerajaan mengambil keputusan untuk terus menguatkuasakan larangan perjalanan merentas sempadan negeri sempena musim perayaan ini.

Iklan

Prosedur operasi standard (SOP) semasa PKPB juga mengehadkan amalan ziarah-menziarahi, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan memakai penutup muka.

Memang agak janggal kerana ramai yang berasakan hari raya tidak bermakna jika tidak balik kampung tetapi sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.

Iklan

Laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati masih ramai yang tidak mengendahkan peringatan berkenaan dengan memberi pelbagai alasan untuk pulang ke kampung.

Ada juga yang melakukan aktiviti ziarah dalam jumlah yang besar dan berkumpul menghidupkan tradisi baraan atau marhaban dari rumah ke rumah. Masih ramai yang tidak mengendahkan larangan dengan melakukan aktiviti kunjung-mengunjung.

Selepas 'perintah berkurung' yang ketat sebelum ini, ramai bimbang sikap segelintir masyarakat inilah yang akan meningkatkan kembali penularan jangkitan Covid-19.

Kes seorang wanita mengandung yang dikesan positif Covid-19 selepas melakukan pergerakan dari Zon Merah di Ampang ke kampungnya di Kelantan dalam Zon Hijau, wajar dijadikan ikhtibar oleh semua supaya tidak mengulangi kesilapan sama.