'ABANG, sayang rindu sangat dengan abang," luah Siti Nurhidayah Mohd Ali, balu kepada Allahyarham Abam Bocey atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan memandangkan tahun ini kali pertama wanita itu menyambut Syawal tanpa suami di sisi.
Siti Nurhidayah, 28, memaklumkan, tahun ini, dirinya hanya ditemani anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffery, 8 bulan.
"Tahun lepas beraya dengan arwah, Hamzah (anak) masih dalam kandungan saya. Tapi tahun ini sekelip mata arwah tinggalkan kami. Terasa sedih dan sayu sangat hati ini. Tak dapat nak gambarkan bila pagi raya pakaikan baju Hamzah, terasa pilu sangat," luahnya di Instagram rasmi milik lelaki dicintainya itu.
Katanya, Instagram pelawak popular berkenaan beberapa minggu lalu telah di 'hack' namun mujur dapat dibuka kembali dan dia begitu bersyukur.
"Sayang rindu sangat dengan pelukan kasih sayang abang pada sayang dan Hamzah.
"Sayang sedih sangat abang sebab tahun ini sepatutnya kita sambut hari raya sama-sama dengan anak kesayangan kita tapi abang pergi dulu meninggalkan kami," katanya.
Namun ujar Nurhidayah, peninggalan sekeping gambar nikah adalah pengubat rindu buat dirinya dengan Hamzah.
"Hanya ALLAH yang tahu perasaan sayang. Sayang doakan abang tenang di sana dan ditempatkan orang yang beriman dan beramal soleh. Kenangan sampai ke syurga," katanya.
Rata-rata peminat Abam Bocey terus memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada Nurhidayah agar terus tabah menghadapi dugaan hidup.
Terdahulu, Abam, 32, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada pagi Isnin, 10 Februari tahun ini akibat demam panas.