'Rakyat hilang kerja, kerajaan jangan ambil sikap tunggu'

Iklan
Sheikh Umar Bagharib Ali

JOHOR BAHRU - Kerajaan digesa supaya mengambil langkah segera bagi menyelamatkan pekerjaan rakyat ketika penularan koronavirus (Covid-19) selain mengelakkan peningkatan kadar pengangguran.

Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kerajaan sepatutnya tidak mengambil sikap menunggu data perangkaan untuk melihat jutaan lagi rakyat hilang pekerjaan.

Iklan
Iklan

"Pada Februari tahun ini, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kadar pengangguran di Malaysia berada pada sekitar 3.3 peratus.

"Sebulan selepas PKP dilaksanakan, menurut laporan Ketua Perangkaan di Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran pada bulan Mac telah meningkat kepada 3.9 peratus, melebihi rekod terburuk Malaysia yang pernah dicatatkan pada bulan Jun iaitu sebanyak 3.6 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, kadar pengangguran dijangka akan meningkat selepas ini.

"Statistik tersebut adalah data yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan, bagaimana pula dengan data yang tidak terdapat dalam rekod jabatan? Pastinya ia melebihi dari angka yang ada.

Iklan

"Ini adalah bencana ekonomi dan sosial yang bersifat sejagat. Ia bukan lagi ‘wake up call’, tetapi ia disifatkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai 'The Great Lockdown'. Ia melampaui ‘The Great Depression’ pada tahun 1930-an," katanya.

Setiausaha Publisiti DAP Johor itu turut menggesa agar langkah diambil bagi memantau harga barang kawalan.

"Langkah ini mesti dibuat untuk mengekang penularan kenaikan harga yang sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pematuhan harga barangan kawalan adalah sama penting dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19," katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu berbelanja mengikut keperluan dan kepentingan kepada rakyat.

"Hasil simpanan yang ada perlulah ditumpukan untuk menyelamatkan pekerjaan rakyat, dari industri kecil dan sederhana (IKS) sehinggalah ke peringkat industri hiliran serta mikro," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pemberhentian pekerja dijangka berterusan selepas Aidilfitri