LPPKN perkasa aktiviti membaca al-Quran dalam kalangan remaja

Iklan
Dr Azura (kiri) dan Mohd Taufek (kanan) menanam pokok merbau di pekarangan Pejabat LPPKN Kepala Batas.

KEPALA BATAS - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pulau Pinang mahu memperkasa program celik al-Quran khusus untuk remaja di negeri ini bagi menghindarkan mereka terjebak dengan gejala sosial.

Pengarahnya, Dr Azura Abdullah berkata, masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa kini agak membimbangkan dan ia berpunca kerana mereka tiada pengisian kerohanian yang baik serta kurang pengetahuan agama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui pembacaan al-Quran, ia bukan sahaja akan menyemai unsur positif dalam kehidupan seharian malah memberi petunjuk supaya tidak sesat dengan perkara melalaikan.

"Kita akan menggerakkan program mengaji dan memahami isi kandungan al-Quran di Pusat Remaja LPPKN di sini sebagai usaha memupuk amalan membaca al-Quran dalam kalangan remaja.

Iklan

"Dalam program ini, kita akan bantu memperbetulkan bacaan serta tajwid mereka selain mengadakan pelbagai aktiviti sampingan dengan harapan kita dapat mengurangkan gejala sosial melibatkan remaja terutamanya di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Taufek (dua dari kiri) memyampaikan naskhah al-Quran kepada Dr Azura.

Terdahulu, Dr Azura menerima al-Quran yang diwakafkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Iklan

Hadir sama menyampaikan al-Quran ialah Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman.

Selain LPPKN, naskhah al-Quran turut diberikan kepada lapan rumah ngaji yang baharu dibuka di negeri ini dengan melibatkan penyerahan sebanyak 200 naskhah keseluruhannya.

Dalam majlis sama, Mohd Taufek dan Dr Azura turut menanam sebatang pokok merbau yang disumbangkan WUIF sebagai simbolik jalinan sokongan LPPKN dalam menjayakan aktiviti yang dianjurkan seperti Family #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour sebelum ini.

Sementara itu, Mohd Taufek berkata, setakat ini pihaknya telah menyerahkan hampir 4,000 naskhah wakaf al-Quran kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan Polis Kontinjen Pulau Pinang sebelum ini.

Beliau turut berharap program wakaf al-Quran mampu menyemarakkan semangat masyarakat untuk membaca dan memahami kandungan kitab suci berkenaan sekali gus menjadikannya sebagai pendamping setiap masa.