Eksport halal negara dijangka meningkat hingga lima peratus

Iklan

KUALA LUMPUR - Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, menjangka eksport halal Malaysia meningkat antara empat dan lima peratus tahun ini daripada RM43 bilion yang dicatat pada 2017.

Naib Presiden Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias berkata, unjuran itu berdasarkan pertumbuhan penduduk Islam global, usaha berterusan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan halal serta kerjasama dengan kementerian lain dan rakan sejawat asing.

Iklan
Iklan

"Kami juga yakin sasaran nasional sebanyak RM50 bilion eksport halal menjelang 2020 boleh dicapai walaupun ketidaktentuan ekonomi global, termasuk turun naik ringgit dan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China.

"Sebagai contoh, ada ruang yang cukup di pasaran halal di Indonesia kerana eksport Malaysia ke negara tersebut hanya menyumbang kurang daripada satu peratus daripada import halalnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar"Mengemudi Perniagaan Anda Ke Arah Kejayaan Ke Dalam Pasaran Halal Indonesia" di sini, hari ini.

Iklan

Hanisofian berkata, penting bagi pengeksport, terutama PKS, untuk mempunyai maklumat terkini yang betul dan memahami proses serta peraturan negara asing seperti Indonesia, walaupun mereka mungkin sudah mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, Indonesia akan melaksanakan Undang-Undang Jaminan Produk Halal Indonesia No. 33/2014 menjelang November tahun ini, yang mewajibkann semua produk dan perkhidmatan memasuki wilayahnya untuk disahkan halal oleh pihak berkuasa di sana.

Iklan

"Kami bekerjasama rapat dengan Jakim dan rakan sejawat Indonesia kami untuk memahami perkara itu dan berharap pada Oktober, kami dapat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai proses pensijilan halal dan labelnya ke stas produk Malaysia," katanya.

Eksport Malaysia ke Indonesia berjumlah RM2.2 bilion pada 2017 dan pada RM1.45 bilion pada suku ketiga 2018.

Semasa seminar tersebut, para peserta diberi taklimat mengenai pelaksanaan Undang-Undang Jaminan Produk Halal Indonesia No. 33/2014, ekosistem gaya hidup pengguna Indonesia dan maklumat mengenai pasaran negara berkenaan, harapan dan peluang negara yang mereka dapat manfaatkan.

Seminar yang dianjurkan oleh HDC dan Ark Incorporation Pte Ltd, penyedia khidmat nasihat dan perundingan halal itu dihadiri 150 pengeksport halal. - Bernama