Agong zahir takziah pemergian tokoh wartawan Ahmad A Talib

Iklan
Tokoh wartawan, Datuk Ahmad A Talib,69, meninggal dunia akibat kanser hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 5.42 petang hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh ahli keluarga tokoh wartawan Datuk Ahmad A Talib, yang meninggal dunia hari ini selepas bertarung dengan kanser hati.

Menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham, Yang di-Pertuan Agong berharap agar keluarga Allahyarham bersabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Iklan
Iklan

"Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada dunia kewartawanan negara amat dihargai dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar pada negara,” demikian menurut hantaran di akaun rasmi Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarham yang berusia 68 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pada jam 5.42 petang.

Iklan

Berita sedih itu dikongsikan oleh anak perempuan Allahyarham Sophia Ahmad, menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Kerjaya Allahyarham bermula sebagai wartawan kadet Perkhidmatan Berita Ekonomi di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1972, sebelum berhijrah dan berkhidmat di Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) pada 1978 dan akhbar tempatan Berita Harian sekitar 1985.

Iklan

Pada 1987, Ahmad dilantik sebagai Penolong Pengarang Berita Harian dan pernah memegang beberapa jawatan utama seperti Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita; Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan, sekitar tahun 1991 hingga 1996.

Allahyarham seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times pada 1998 dan sebagai Pengurus Besar Kumpulan (Komunikasi dan Pemasaran Editorial) New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) pada 2004.

Beliau bersara awal daripada Kumpulan NSTP pada 2005.

Pada Julai 2009, Ahmad menyertai semula NSTP dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu dan Media Prima Bhd (MPB), seterusnya dilantik sebagai Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MPB pada 2013.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk urusan pengebumian. - Bernama