KEMATIAN pertama akibat Covid-19 berlaku di Wuhan, China pada 9 Januari lalu. Sejak itu, wabak itu telah meragut lebih 348,000 nyawa di seluruh dunia sehingga semalam. Angka itu lebih besar berbanding keseluruhan korban akibat SARS, H1N1, Mers dan Ebola.
Malah, Merak Jalanan dapati koronavirus membunuh lebih ramai manusia berbanding punca-punca kematian biasa yang lain dalam tempoh tiga bulan lalu.
Beban Penyakit Global 2017 iaitu kajian terkini oleh Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan (IHME) di Universiti Washington, Amerika Syarikat, telah menyenaraikan 282 penyakit yang meragut nyawa di seluruh dunia dengan diabetes menyebabkan purata kematian 20,000 orang seminggu.
Kemalangan jalan raya pula membunuh 25,000 orang seminggu, kanser trakea dan paru-paru (36,000), manakala jangkitan pernafasan ringan seperti pneumonia dan bronkitis (49,000).
Agak mengejutkan apabila pada minggu pertama April sahaja, Covid-19 telah menyebabkan kematian lebih 50,000 orang! Bagaimanapun, angka itu masih jauh lebih rendah berbanding bilangan kematian global pada 2017 iaitu kira-kira 56 juta orang.
Walaupun Covid-19 dikatakan penyakit maut yang paling ditakuti di bumi kini, 70 peratus kematian sebenarnya adalah disebabkan penyakit kronik yang tidak berjangkit.
Penyakit maut No. 1 masih lagi penyakit jantung. Dalam setiap tiga kematian, satu daripadanya disebabkan penyakit kardiovaskular tersebut.
Merak Jalanan percaya sebab itulah sesetengah negara kembali menjalani kehidupan dengan normal-normal baharu tanpa menunggu wabak itu reda sepenuhnya.
Mereka mula menerima hakikat bahawa Covid-19 akan menjadi ancaman berterusan dan menganggap kematian akibat wabak itu adalah sebahagian daripada normal baharu kehidupan.