Jangan asingkan anak frontliners

Iklan
Gambar hiasan -Foto Bernama

AWANG sangat tidak bersetuju tindakan ‘mengasingkan’ anak-anak frontliners. Ini termasuklah mengadakan pusat jagaan khas dan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berasingan untuk mereka. Tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menghantar mesej yang salah kepada rakyat. Ia juga memberikan isyarat bahawa anak-anak petugas frontliners ‘berbahaya’ dan patut ‘dijauhi’ oleh yang lain.

Awang setuju dengan kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran bahawa tindakan itu tidak wajar dan satu bentuk diskriminasi. Ia juga adalah satu tamparan pada petugas barisan hadapan yang selama ini memainkan peranan penting dalam memerangi wabak Covid-19.Awang memang faham ada dalam kalangan masyarakat yang berprasangka terhadap anak-anak petugas barisan hadapan. Ini disebabkan ibu bapa mereka dianggap golongan berisiko tinggi.

Iklan
Iklan

Maka, anak-anak mereka juga dianggap berisiko tinggi. Khabarnya ada ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak dan taska yang terdapat anak-anak petugas barisan hadapan di situ.

Awang anggap itu satu penghinaan bagi frontliners kita. Sekiranya KPWKM mengambil langkah mengasingkan anak-anak mereka, maka sia-sialah pengorbanan frontliners kita selama ini.

Iklan

Kita memuja mereka tetapi bersubahat menganggap anak-anak mereka tidak layak berinteraksi bersama-sama anak-anak lain.

Tongkat khutbah jadi bahan lawak

Iklan

Awang kesal tindakan sesetengah umat Islam yang menganggap tongkat khutbah sebagai bahan senda gurau. Ini ekoran daripada beberapa posting dalam media sosial yang menunjukkan imam di rumah membaca khutbah solat sunat Aidilfitri menggunakan apa sahaja bahan sebagai tongkat.

Ini termasuklah bahan mainan kanak-kanak daripada filem terkenal, senapang mainan, kayu golf dan lain-lain.

Sekadar dipos ke media sosial satu hal tapi disenda gurau pula. Memegang sesuatu seperti tongkat, pedang dan busar anak panah sewaktu membaca khutbah memang hukumnya sunat. Tak ada pun tak apa. Tapi janganlah dipos sebagai bahan jenaka untuk ditularkan dalam media sosial.

Awang setuju dengan nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri agar umat Islam lebih sensitif dalam soal ini.

Nampaknya dalam dunia media sosial, soal adab, akhlak dan tertib beribadah tidak lagi diutamakan.

Kita juga tentu pernah lihat ada video ibu bapa sedang solat tetapi anak-anak berkeliaran dan mengganggu.

Memang menurut hukum hal itu tidak menyebabkan batal solat. Tapi Awang nak tanya apakah motif ibu bapa kanak-kanak itu merakamkan solat mereka dengan anak-anak yang memang akan mengacau mereka?

Jikalau itu bukan untuk bahan ditularkan apakah maksud sebenarnya?Awang rasa inilah salah satu keburukan media sosial. Ia sudah digunakan untuk tujuan promosi diri dan berharap posting itu akan ditonton oleh sebanyak mungkin netizen.Wallahuaklam.