Tiga bulan tak jumpa anak-anak

Iklan
Muhammad Hassan bersama ahli keluarnya.

[LAPORAN KHAS] KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Begitulah perumpamaan sesuai menggambarkan perasaan jururawat Wad Cov28, Hospital Kuala Lumpur, Muhammad Hassan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Terpancar jelas riak wajah sayu tatkala Muhammad meluahkan kerinduan terhadap dua orang puteri kesayangan yang tidak ditemuinya sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama bermula pada 18 Mac lalu.

Iklan
Iklan

"Saya terpisah dengan anak-anak hampir tiga bulan, perasaan rindu itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” ujar bapa muda berusia 34 tahun dari Muar itu yang telah berkhidmat sebagai jururawat selama 11 tahun.

"Raya kali ini memang terasa amat berbeza, saya dan isteri hanya beraya di Kuala Lumpur tanpa anak-anak dan ibu bapa.

Iklan

"Rumah yang dulu dipenuhi gelak tawa anak-anak kini sunyi,” luah Muhammad sambil menambah dirinya turut risaukan pelajaran anak di kampung.

Menurut Muhammad, pada ketika ini dirinya berada dalam dilema.

Iklan

Meskipun berharap dapat bersua kembali dengan anak-anaknya yang berusia tujuh tahun dan dua tahun setengah, namun apabila memikirkan tugasnya menjaga pesakit Covid-19 selain bimbang akan menjangkiti orang lain, hati kecilnya hanya mampu berserah.

"Oleh kerana saya bekerja di wad yang menguruskan pesakit Covid-19, sudah tentu saya berasa bimbang sekiranya akan menjangkiti anak-anak,” katanya yang merindui masakan lodeh, air tangan bapanya yang menjadi juadah utama setiap kali Syawal.

Muhammad Hassan

Berkongsi kisah pada peringkat permulaan menguruskan pesakit-pesakit Covid-19, Muhammad berkata, banyak persediaan rapi perlu dibuat sebelum merawat pesakit termasuk cara pemakaian PPE yang betul.

"Pada awalnya, keadaan di wad memang terlampau sibuk, malah saya sendiri pernah bertugas selama 24 jam,” katanya sambil menambah krisis Covid-19 turut memberi kesan kepada mental petugas kesihatan yang kebanyakan mengalami keletihan melampau.

Ditanya pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang menjaga pesakit Covid-19, Muhammad berkata, antara yang paling memberi kesan apabila kehilangan seorang pesakit.

"Kali pertama berjumpa, keadaannya masih baik. Selang beberapa hari pesakit akhirnya meninggal dunia. Saya masih ingat, jasa terakhir saya padanya adalah memberikannya secawan air,” kata beliau.