SUCRE - Tiga adik-beradik lelaki di Bolivia berdepan padah selepas sengaja membiarkan labah-labah Black Widow menggigit mereka gara-gara mahu menjadi watak adiwira, Spiderman.
Kesemua mangsa berusia lapan, 10 dan 12 tahun itu dilaporkan sedang menggembala kambing di bandar Chayanta di Potosi ketika kejadian itu berlaku pada 14 Mei lalu.
Ketua Epidemiologi di Kementerian Kesihatan Bolivia, Virgilio Pietro berkata, mereka berharap dapat bertukar menjadi Spiderman selepas digigit labah-labah berbisa itu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga adik-beradik itu mula mengalami simptom dalam tempoh beberapa minit hingga terpaksa dikejarkan ke pusat kesihatan tempatan oleh ibu mereka.
Kesemua mangsa itu kemudiannya dipindahkan ke sebuah di Lllallagua selepas keadaan dilaporkan semakin teruk termasuk gejala seperti demam, berpeluh dan sakit otot.
Menurut Pietro, mereka berjaya dirawat dan dibenarkan keluar dari hospital seminggu kemudian.
"Insiden itu sepatutnya menjadi amaran bahawa segelintir kanak-kanak menganggap apa yang berlaku di dalam filem adalah perkara nyata. Mereka tidak sedar gigitan daripada labah-labah Black Widow boleh menyebabkan kematian kepada golongan itu," ujarnya.
Bisa labah-labah tersebut boleh mempengaruhi sistem saraf dan pembengkakan serta gejala jangka panjang seperti sakit otot, mual dan kelopak mata membengkak.
Difahamkan, spesies tersebut berasal dari Amerika Utara, Amerika Selatan dan selatan Eropah malah ia juga ditemui di Australia, New Zealand dan Afrika Selatan. - Agensi