TANJONG KARANG - Seorang peniaga barangan cenderahati kerugian ribuan ringgit selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner yang diparkir berhampiran rumah sewanya dilanggar lari sebuah motosikal dalam kejadian di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu disedari pemiliknya, Teh Kar Hing, 42, ketika berada di tingkat atas rumah kedai dua tingkat berkenaan.
Menurut Kar Hing, kejadian berlaku ketika beliau baru hendak melelapkan mata sebelum terdengar bunyi penggera kereta yang kuat.
"Saya dengar bunyi bising penggera lebih lima minit sebelum turun ke bawah dan melihat ramai orang ramai berkerumun.
"Saya terkejut mendapati cermin belakang kereta pecah dan mengalami kerosakan," katanya.
Katanya, beliau juga menemui kesan darah dipercayai milik penunggang motosikal yang cedera selepas melanggar kenderaan berkenaan.
Katanya, hasil semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya mendapati seorang individu menunggang motosikal yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
"CCTV kedai kami tidak dapat merakam dengan jelas nombor pendaftaran motosikal terbabit dan kami juga tidak tahu motif sebenar kejadian ini sama ada penunggang motosikal mabuk atau sebaliknya," katanya.
Menurutnya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Selangor pada jam 12 tengah malam tadi.
"Saya memohon kepada mereka yang ternampak kejadian ini menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes ini," katanya.
Sebelum ini kejadian motosikal langgar Toyota Fortuner di Pekan Tanjong Karang tular di beberapa laman Facebook.