KOTA BHARU – Pas tidak pernah berdiam diri dan mahu kerajaan mengambil tindakan sewajarnya melibatkan isu pemandu mabuk yang semakin berleluasa di negara ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pendirian Pas masih sama terhadap isu tersebut dan telah berulang kali dinyatakan kepimpinan tertinggi parti itu sejak dulu lagi.
"Kita tidak diam, pendirian kita jelas. Cuma kita tunggu keputusan kerajaan, saya difahamkan kerajaan sudah merangka beberapa penyelesaian dan kita tunggu pengumumannya nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu Mohd Amar meluangkan masa sejam melawat kediaman yang terbakar di kawasan Padang Tembak, di sini hari ini.
Rata-rata pengkritik politik tanah air mempersoalkan tindakan Pas yang dilihat berdiam diri dalam isu arak tersebut selepas bersama dengan kerajaan dalam Perikatan Nasional.
Isu pemandu mabuk ini menjadi semakin hangat terutamanya apabila ia menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan sehingga meragut nyawa sejak kebelakangan ini.
Ahli Parlimen Seremban dari DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini juga berharap kerajaan tidak bertolak ansur lagi dengan pemandu mabuk dan hukuman berat perlu dikenakan kepada mereka yang terlibat.
Ini kerana, katanya, beliau bukannya menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras namun bekas Menteri Pengangkutan memberitahu, mereka yang memandu dalam keadaan mabuk perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku insiden yang meragut nyawa individu tidak bersalah.