Nwakaeme mampu pertajamkan penyudah Tok Gajah

Iklan

KETUA Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh gembira dengan kehadiran Dickson Nwakaeme dalam skuad kendaliannya musim ini yang disifatkan mampu memberi nafas baharu kepada skuad Tok Gajah bagi menghadapi Liga Malaysia, khususnya saingan Liga Super.

Katanya setakat ini pemain import dari Nigeria itu dilihat tiada masalah dan diyakini mampu menyesuaikan diri dengan anggota sepasukan.

Iklan
Iklan

"Kehadiran pemain ini mampu menguatkan bahagian serangan Pahang.

"Semasa Pahang beraksi di Thailand baru-baru ini pun kita tak ada penyerang dan saya tidak menurunkan dua pemain import Pahang yang ada," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Iklan

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Pahang kini memiliki empat pemain import selain Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Dollah berkata skuad Pahang dijangka lengkap pada minggu depan dengan kehadiran seorang lagi pemain import untuk mengharungi cabaran musim 2019.

Iklan

"Seorang lagi pemain import kita dalam perjalanan dan difahamkan dia sudah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pada minggu depan saya rasa Pahang sudah cukup lengkap sebagai satu pasukan dengan lima pemain import," katanya.

Pada musim lalu, skuad Tok Gajah berjaya merangkul Piala FA selain menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat. - Bernama