KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat PKR tidak menghantar wakil untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kali ini.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman parti lawan berdepan kehilangan deposit apabila pertemuan tiga penjuru itu dimenangi BN dengan majoriti yang cukup besar.
Mohd Amar juga optimis kemenangan yang sama bakal diperoleh BN pada PRK itu.
"Berdasarkan keputusan sebelum ini kemenangan sudah pasti (milik kita) jika BN yang bertanding. Sebelum ini pun kemenangan sudah besar. PKR hanya hilang wang pertaruhan. Sekarang kita ada Muafakat Nasional.
"Kalau BN bertanding, Pas akan memberi sokongan penuh. Apa yang nak berlaku pun kita tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Padang Tembak di sini hari ini.
PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.
Pada PRU14, Abu Bakar memperoleh 10,027 undi dan menang dengan majoriti 4,622 menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.
Mohd Amar juga memberitahu, bukan mudah untuk melakukan kempen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama jika melibatkan ceramah.
"Macam mana nak berkempen dengan keadaan penularan wabak kerana perlu sediakan sanitasi, jaga jarak dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Maka lebih baik tiada pertandingan,” katanya.