Cara pelantikan Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang tak betul

Iklan

TASEK GELUGOR - Pelantikan pemangku Pengerusi PKR negeri Pulau Pinang yang baharu disifatkan sebagai suatu tindakan yang tidak betul, kata bekas pengerusi PKR negeri itu Datuk Mansor Othman.

Mansor ketika menyuarakan pandangannya berkata, pelantikan kepimpinan negeri yang dibuat pada mesyuarat minggu lepas yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar itu dianggap tidak betul.

Iklan
Iklan

"Pelantikan itu tidak betul. Jikalau pelantikan itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), itu baru betul.

"Dalam mesyuarat itu juga beberapa Ketua Cabang tidak ada, saya tidak ada, Bukit Mertajam tidak ada, Tanjong pun tidak ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Guar Petai di sini hari ini.

Iklan

Mansor, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, mesyuarat berhubung pelantikan pengerusi berkenaan sepatutnya dipengerusikan oleh Anwar.

Mansor turut mempertikaikan berhubung pelantikan pemangku bagi jawatan itu.

Iklan

"Lantik pengerusi teruslah, jangan memangku, kenapa memangku. Buat dengan betullah, anda mahukan sebuah parti yang bagus, parti demokratik, dihormati oleh semua, buatlah dengan betul, anda bercakap mengenai demokrasi, mengenai prosedur yang betul, jadi lakukanlah," katanya.

Ahad lepas, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang menggantikan Nurul Izzah yang mengumumkan peletakan jawatannya Disember lepas.

Pelantikan Muhammad Bakhtiar, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, dibuat pada mesyuarat tertutup Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Nurul Izzah di Yayasan Aman, di sini.

Pada 17 Disember lepas, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR selain melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang, yang dilantik.

Nurul Izzah, yang digelar sebagai ‘Puteri Reformasi’ sejak permulaan era gerakan ‘Reformasi’ bagaimanapun berkata, beliau akan kekal sebagai ahli biasa PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga tamat penggal.