GERIK - Seorang penoreh getah ditahan kerana memiliki seekor burung murai batu dan daging kijang dalam serbuan Ops Khazanah di sebuah rumah di Kampung Sira Panas, Bersia Lama di sini semalam.
Dalam serbuan sekitar jam 7 petang itu, polis bersama pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak serta Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menemui dua laras senjata api.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pemeriksaan mendapati suspek berusia 34 tahun itu menyembunyikan senapang patah buatan sendiri di dalam sebuah bilik air.
"Suspek hanya memiliki lesen bagi senjata api jenis shotgun. Turut ditemui ialah 360 butir peluru pelbagai jenis, pisau berhulu tanduk rusa, empat kilogram daging kijang bernilai RM400 dan seekor burung murai batu yang bernilai antara RM1,000 hingga RM3,000.
"Siasatan mendapati suspek memburu sendirian di kawasan hutan sekitar daerah Hulu Perak bagi mendapatkan daging kijang serta burung itu yang dipercayai untuk dijual,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.
Menurutnya, bapa kepada dua anak itu direman selama tiga hari sehingga hari ini bagi melengkapkan siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) dan 8(b) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senapang patah buatan sendiri tanpa lesen sah dan melanggar syarat-syarat lesen senjata api.
"Kes turut disiasat oleh Perhilitan di bawah Seksyen 60(1)(a)/ 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu serta menyimpan dan mengambil mana-mana bahagian hidupan liar yang dilindungi,” katanya.