MERAK Jalanan sambut baik tindakan kerajaan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak awal bulan ini.
Sifirnya mudah, kerajaan mahu membendung penularan pandemik Covid-19. Paling tidak, apa yang dilakukan pihak kerajaan itu mampu menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia daripada terdedah kepada Covid-19.
Biarpun ada pihak yang menentang keras tindakan kerajaan, harus diingat bahawa sejak beberapa hari kebelakangan ini, trend peningkatan kes Covid-19 banyak melibatkan warga asing.
Merak Jalanan sendiri tak dapat bayangkan apa akan terjadi jika kerajaan tidak bertindak segera menangkap PATI. Ini bukan lagi soal kemanusiaan sejagat tetapi ini isu kesihatan mahupun keselamatan.
Tidak mustahil situasi akan menjadi lebih buruk. Malah, lebih dahsyat jika golongan PATI itu bebas berkeliaran ‘ke sana ke sini’. Mujurlah mereka yang ditangkap terus dikuarantin di depot tahanan.
Jadi tak usahlah ada pihak mahu bertindak ibarat menangguk di air keruh. Sebenarnya PATI yang dikuarantin di depot tahanan itu mendapat layanan baik. Tidak timbul isu penindasan.
Mereka tetap diberikan makan empat kali sehari. Sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam, semuanya sudah tersedia. Menunya juga diluluskan pihak kerajaan.
Ketika Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan terus menangkap PATI bagi mengekang penularan Covid-19 pada sidang medianya kelmarin, Merak Jalanan percaya majoriti rakyat Malaysia juga bersetuju.
Walau apa pun desakan daripada golongan penentang, kerajaan tidak harus sesekali gentar atau tunduk. Mana-mana individu yang masuk ke negara ini secara haram adalah salah di sisi undang-undang. Jadi tidak timbul lagi isu diskriminasi terhadap PATI.