SUDAH bersediakah kita terutamanya kalangan peminat dan penyokong bola sepak negara sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga-M) dilangsungkan di stadium tertutup tanpa kehadiran penonton.
Yang ada hanya kelibat 22 pemain di tengah padang selain beberapa pemain simpanan serta pegawai pasukan di bangku simpanan. Turut kelihatan cuma pengadil perlawanan, pembantu pengadil serta beberapa petugas.
Semua itu tampak tidak mustahil sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendapat ‘lampu hijau’ kerajaan untuk kembali melangsungkan Liga-M September ini.
Jika realitinya benar-benar terjadi nanti, maka mungkin ini jugalah yang dikatakan normal baharu dalam bola sepak. Semuanya penangan Covid-19 yang mengakibatkan dunia sukan ‘lumpuh’.
Paling terkesan sudah pasti bola sepak yang dianggap sukan nombor satu di dunia. Negara kita juga tidak terkecuali apabila Liga-M terpaksa ditangguhkan sejak Mac lalu akibat Covid-19.
Melihatkan kepada trend kes pesakit yang dijangkiti Covid-19 sejak kebelakangan ini dan beberapa hari mendatang, pastinya FAM dan MFL sedang ‘berkira-kira’ bagi membolehkan Liga-M kembali disambung.
Tetapi satu hakikat yang harus diterima FAM dan MFL jika mendapat kebenaran kerajaan ialah Liga-M selepas ini berlangsung tanpa kehadiran penonton. Contohnya, Bundesliga Jerman dan Liga Korea (Liga-K) yang kini sudah disambung.
Melihatkan beberapa aksi Bundesliga dan Liga-K yang kembali berlangsung, selain tanpa kehadiran penonton, tiada lagi tindakan meraikan jaringan secara berlebihan, tiada berjabat tangan, malah perbualan juga tidak digalakkan.
Setiap pemain serta pegawai terlibat yang memasuki stadium turut menjalani pemeriksaan suhu badan serta diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut. Pensanitasi tangan juga diletakkan di setiap ruang dalam stadium.
Inilah gambaran awal mengenai normal baharu dunia bola sepak pasca Covid-19. Setiap perlawanan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Situasi sama dapat dilihat jika Liga-M kembali bersambung nanti.