SHAH ALAM - Tugas menyelamat dan berkhidmat untuk masyarakat sudah sebati dalam diri wira merah ini.
Mereka sanggup berkorban jiwa dan raga demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
Mereka juga teruja jika berkesempatan pulang beraya di kampung halaman sama seperti masyarakat Islam lain.
Namun, niat itu terpaksa dipendamkan sahaja kerana tanggungjawab yang memerlukan mereka bersiap siaga setiap masa demi kepentingan nyawa dan harta orang awam.
Biarpun kadangkala hati terusik terutama apabila tidak dapat pulang beraya di kampung halaman dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga, mereka perlu cekal.
Hampir lapan tahun bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik di Bukit Jelutong, Shah Alam, Mohd Hafizul Husin berkata, baru dua kali dia dapat pulang beraya di kampung halaman di Tumpat, Kelantan.
"Walaupun sudah biasa tapi tahun ini agak luar biasa memandangkan negara dilanda ujian besar dengan pandemik koronavirus (Covid-19) sehingga memberi impak yang lebih mencabar kepada pegawai dan anggota di balai bomba berkenaan.
"Jauh di sudut hati rindu juga kampung halaman dan keluarga, tapi atas dasar tanggungjawab, beliau sanggup bertugas pada hari lebaran," katanya.
Menurutnya, menjadi satu kebanggaan kerana dapat menjadi petugas barisan hadapan dalam usaha memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
"Tipulah kalau saya kata tidak sedih beraya sendirian di perantauan. Memang kerinduan sentiasa mencengkam jiwa, rindu untuk makan juadah raya dengan hidangan nasi dagang, sate, ketupat, lemang dan sebagainya bersama emak dan ayah di kampung.
"Apakan daya, dalam situasi begini khidmat dan tanggungjawab perlu diutamakan dan saya harus berkorban,” katanya.
Mohd Hafizul berkata, buat masa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk pulang ke kampung terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan larangan merentas negeri oleh kerajaan.
"Maka untuk mengubat rindu kami sama-sama beraya di balai bomba dan bawa juadah raya masing-masing.
"Walaupun tidak sama dengan suasana di kampung halaman namun terubatlah sikit kerinduan kami terhadap kampung halaman,” katanya.
Sayu
Seorang lagi anggota bomba, Muhammad Afiq Ghazali yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan berkata, sepanjang lima tahun berkhidmat hanya sekali dia dapat pulang beraya bersama keluarga.
"Selebihnya saya beraya bersama rakan-rakan yang turut bertugas pada musim perayaan. Tahun ini lebih terasa sebab kita tak dapat nak solat Aidilfitri di masjid, terpaksa solat di rumah ekoran pelaksanaan PKPB akibat sebaran wabak Covid-19.
"Sayu apabila mendengar alunan takbir di masjid tapi tidak dapat solat Aidilfitri berjemaah. Suasana itu amat dirindui dan kami sebagai antara petugas barisan hadapan berharap agar situasi ini dapat dikawal. Tidak sabar untuk menjalani kehidupan seperti biasa terutama solat berjemaah di masjid,” katanya.
Katanya, orang ramai diharapkan tidak mudah memberi kecaman dan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tugas anggota bomba kerana ia turut menggangu emosi mereka yang banyak menjalankan tugas tidak mengira waktu.
"Walaupun ia tidak nampak pada zahir namun sebagai manusia, hati kecil kami kadangkala terusik dengan tohmahan yang memperlekehkan tugasan mulia kami.
"Apapun kami perlu terus istiqamah dan akan berkhidmat selagi termampu untuk masyarakat. Ini merupakan kenangan manis yang akan saya ceritakan pada anak dan cucu pada masa akan datang,” katanya.
Mohamad Azim Noordin pula berkata, sepanjang lima tahun berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Bukit Jelutong Selangor, dia masih belum pernah balik ke kampung beraya bersama keluarga di Sabah.
"Ada juga rasa sedih, namun kehendak diri untuk pulang terpaksa disekat ekoran situasi negara yang dilanda wabak koronavirus, maka saya perlu bertugas di balai.
"Biarpun ada kalanya perasaan hiba tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, namun sokongan rakan-rakan menjadi pendorong semangat untuk saya terus bertahan dan meneruskan khidmat dalam pasukan dengan lebih bersemangat,” katanya.
Menurutnya, bekerja di hari raya adalah perkara biasa bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan yang sentiasa memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat