KUALA TERENGGANU - Meskipun memori itu sudah lebih 28 tahun berlalu, namun pengalaman pertama menyambut Aidilfitri di Semenanjung Malaysia iaitu di rumah keluarga mertuanya di Gong Badak, Kuala Nerus, pasti menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan buat anak kelahiran dari Kuching, Sarawak, Nur Juliana Juan Abdullah, 47.
Mengakui pada mulanya sangat terkejut melihat menu hidangan disediakan pagi raya yang kebanyakannya makanan berat seperti nasi dagang dan nasi minyak selain merasa agak janggal kerana tidak disediakan air soda (air bergas) yang menjadi antara minuman wajib dihidangkan di setiap rumah pada Hari Raya jika di kampungnya, Kuching, Sarawak.
Menurut ibu kepada dua anak lelaki ini, tetapi kini dia sudah mula merasa sangat selesa dengan budaya sambutan hari raya orang Semenanjung meskipun terpaksa mengambil masa agak lama untuk menyesuaikan diri dan kadang kala masih terikut budaya Bumi Kenyalang yang sudah sebati dalam hidupnya.
"Bukan apa, jika di Sarawak, kami dihidangkan lebih kepada biskut dan pelbagai jenis kek terutama kek lapis dan kek hati parek malah suasana warna warni yang semestinya diperlukan pada Hari Raya adalah datangnya daripada warna warni kek lapis disediakan.
"Meja di semua rumah di sana pastinya akan disusun indah sepenuhnya dengan kek pelbagai rasa dan warna terutama pada pagi raya. Bagi saya kek lapis Sarawak adalah resipi dinamik malah sentiasa wujud ciptaan kek lapis baru dengan pelbagai nama diberikan.
"Sangat berbeza di sini yang 'mewah' dihidangkan dengan makanan berat seperti menu daripada nasi selain ketupat lemang menjadi hidangan ruji di Hari Raya tetapi berbeza dengan kami di Sarawak, yang sering menyediakan kelupis sebagai juadah," katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Nur Juliana yang juga seorang mualaf berkata, selain pelik dengan juadah disediakan, pada awal-awal menyambut Aidilfitri di kampung mertuanya, dia tercari-cari air soda 'lemoned' dan 'sundrop' yang amat mudah ditemui pada Hari Raya jika di Sarawak.
"Kedua-dua air ini sebenarnya amat mudah ditemui pada Hari Raya terutama air soda atau lemoned di dalam botol hitam yang biasanya dikilangkan di Sibu dan Kuching menjadi pilihan Orang Melayu yang ingin mengimbau suasana klasik dan malar hijau (evergreen) dalam sambutan Hari Raya.
"Selain air Lemenet, Sundrop iaitu air oren produk tempatan turut menjadi pilihan jika tetamu tidak mahu minum air bergas dan menu minuman ini sangat berbeza dengan budaya di sini kerana majoriti menghidangkan minuman panas seperti tea, kopi dan lain-lain serta minuman sejuk termasuk air sirap dan sebagainya," katanya.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan 'ibu' berkata, walaupun dia dilahirkan daripada keluarga bukan Islam dan memilih memeluk Islam pada 1992, dia masih tetap meraikan Hari Raya bersama rakan-rakan Muslimnya termasuk turut berpuasa walaupun tidak penuh untuk sebulan.
"Sebelum memilih agama Islam sebagai pegangan hidup, ibu tetap belajar berpuasa setiap kali masuk bulan Ramadan dan keluarga ibu memang akan meraikan Hari Raya setiap tahun.
"Kami akan membuat persiapan hari raya sama seperti rakan-rakan atau jiran Muslim yang lain malah pada Hari Raya, kami turut sama menziarah rumah mereka seperti yang menjadi rutin sambutan hari raya.
"Cuma perasaan itu berbeza selepas ibu melafazkan kalimah syahadah, keterujaan untuk menyambut Hari Raya dan berpuasa sangat berbeza," katanya.
Dia yang juga antara mualaf paling aktif mengikuti aktiviti dan program disediakan pejabat agama melalui persatuan mualaf baru-baru ini terpilih menunaikan umrah secara percuma disediakan kepada saudara baru tajaan In saff Travel & Tours.
Menganggap peluang yang diberikan adalah satu nikmat paling bermakna dalam hidup kerana hasratnya untuk melihat kaabah selepas memilih Islam sebagai pegangan hidup menjadi kenyataan.