IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria meminta semua pihak tidak meneruskan sebarang bentuk perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menurutnya, sudah tiada keperluan untuk mengadakan tunjuk perasaan melalui himpunan seperti itu memandangkan kerajaan sudah membuat keputusan untuk tidak meratifikasi konvensyen berkenaan.
"Dulu bantahan dibuat kerana kerajaan kononnya hendak terima (ICERD), tetapi sekarang mereka sudah batalkan, jadi kenapa masih mahu tunjuk perasaan.
"Kerajaan mendengar bantahan rakyat dan kita kenalah berterima kasih kepada mereka, itu sahaja," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas himpunan besar-besaran membantah ratifikasi ICERD yang dijadualkan di Kuala Lumpur, 8 Disember depan.
Beberapa siri bantahan sama juga dilaporkan tetap dilangsungkan mengambil kira faktor tidak tahu sejauh mana keabsahan maklumat yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Harussani berkata, orang ramai perlu bersangka baik dan tidak sesekali meragui keputusan dibuat kerajaan.
"Kenapa mesti ragu-ragu? Adakah kerajaan pernah menipu mereka? Ini bermakna mereka bersangka buruk sedangkan kita disuruh bersangka baik kecuali kita melihat keadaan itu jelas bertentangan dengan Islam," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD]
Mengulas lanjut, beliau menyambut baik pendirian kerajaan PH itu.
"Negara kita cukup adil beri peluang kepada semua bangsa bahkan ada bangsa lain yang lebih daripada orang Melayu. Jika buat (ratifikasi), ia akan memberi implikasi kepada satu bangsa sahaja," katanya.