PASIR SALAK - Seorang guru sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan lima remaja perempuan yang hanyut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah di sini semalam.
Kejadian sekitar 12.20 tengah hari itu disedari Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, yang kebetulan melalui jalan tersebut ketika dalam perjalanan menuju ke Hutan Melintang.
Menurutnya, beliau terkejut selepas terlihat seorang mangsa dalam keadaan basah kuyup dan cemas keluar dari kawasan semak cuba meminta bantuan.
"Dalam fikiran saya ingatkan dia terjatuh motosikal dan saya berhenti untuk lihat keadaan. Mangsa yang dalam keadaan menggeletar terus meminta bantuan untuk selamatkan kawan-kawan dia yang lain.
"Saya bergegas ke tepi tali air dan lihat dua orang berada tepi tebing berpaut pada kayu manakala, dua lagi sedang bergelut dibawa arus,” katanya.
Nor Imran berkata, tanpa berfikir panjang, beliau terus terjun untuk menyelamatkan keempat-empat mangsa.
"Saya berenang mendapatkan dua mangsa yang sudah hanyut terlebih dahulu dan berjaya memaut mereka dan bawa ke tebing.
"Pada masa sama, dua mangsa yang berpaut pada kayu terlepas pula daripada pegangan kerana arus kuat namun saya sempat berlari dan terjun dapatkan mereka dan mereka sempat mencapai tangan saya,” katanya.
Katanya, seorang mangsa tidak sedarkan diri telah diberi bantuan kecemasan menggunakan kaedah Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).
"Mujur seorang pengguna jalan raya lain berhenti dan beri bantuan CPR. Saya memang tidak berdaya lagi selepas menyelamatkan mereka.
"Saya bersyukur apabila mereka semua sedar dan jelas masih dalam keadaan trauma. Kereta Proton Saga mereka pula tenggelam,” katanya.
Difahamkan kesemua mangsa yang berusia 18 tahun itu telah dibawa ke Hospital Teluk Intan dan Changkat Melintang bagi mendapatkan rawatan.
Video guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama Rakyat Parit 25 Baroh, Tanjung Bayan, Hutan Melintang itu tular di media sosial selepas berjaya menyelamatkan kesemua mangsa.
Katanya, beliau yang juga anggota Jabatan Amal Pas Bagan Datuk bercadang untuk melawat mangsa bagi mengetahui perkembangan terbaharu mereka.