SOSMA: Bicara kes saman Khairuddin 1 September

Iklan
Khairuddin Abu Hassan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh baharu bermula 1 September depan untuk perbicaraan kes saman Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Peguam Irzan Iswat Mohd Nor yang mewakili Khairuddin selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon menetapkan 1 hingga 4 September untuk perbicaraan kes saman berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya perbicaraan kes itu bermula pada 1 Jun ini namun ia ditangguhkan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan," katanya.

Peguam itu berkata, pihak plaintif akan mengemukakan enam saksi manakala defendan akan memanggil empat saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Iklan

"Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penyataan saksi sebelum atau pada 16 Julai ini selain menetapkan 17 Julai untuk pengurusan kes melalui aplikasi dalam talian (Skype)," katanya.

Khairuddin memfailkan saman itu terhadap Asisten Superintendan Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintendan C Muniandy; kedua-duanya pegawai penyiasat daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji dan Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Iklan

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohamed Apandi dan kerajaan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pada 23 September tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif telah ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama