PORT DICKSON - Dua beradik dikenakan hukuman denda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada Selasa lalu.
Pengakuan tersebut dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Port Dickson, Siti Huzaifah Abdul Talib.
Tertuduh, S Guna Singam, 36, dan S Rajeshwaran, 34, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.
Terdahulu, polis menahan dua lelaki dipercayai mabuk yang terjerit-jerit dalam sebuah kereta di Kilometer 10, Jalan Pantai, Port Dickson pada 26 Mei lalu.
Suspek kemudian cuba membuat provokasi menghentak bumbung kereta polis, selain enggan memberikan butiran pengenalan diri walaupun beberapa kali diminta.
Kedua-dua suspek kemudian ditahan kerana enggan memberi kerjasama dan mempertikaikan tugas polis.
Siasatan awal mendapati kedua beradik tersebut berada dalam keadaan mabuk.