PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Separuh kos kuarantin di hotel bagi pelajar tajaan di luar negara yang telah tamat pengajian perlu ditanggung oleh pihak penaja setelah mereka pulang ke tanah air mulai 1 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 50 peratus caj kuarantin itu akan ditanggung oleh kerajaan manakala 50 peratus lagi akan ditanggung penaja.
"Pelajar yang tamat tempoh (pengajian) ini ada ditaja oleh agensi kerajaan dan juga JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), ramai mohon supaya mereka ini dikecualikan (caj hotel).
"Kita telahpun bersetuju untuk penaja tanggung (separuh) dan ibu bapa tidak perlu bimbang," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, setakat ini kira-kira 18,000 rakyat Malaysia di luar negara yang mendaftar permohonan secara dalam talian dan menandatangani surat aku janji pembayaran 50 peratus caj hotel bagi kuarantin wajib selama 14 hari setelah kembali ke Malaysia.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada jumlah itu ialah pelajar yang telah tamat tempoh belajar dan tidak perlu lagi berada di luar negara.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tiada keperluan untuk kerajaan melakukan saringan pengesanan koronavirus (Covid-19) ke atas pelajar antarabangsa di universiti tempatan.
"Hanya kalau ada kes di universiti tersebut, maka kita akan mengasingkan mereka untuk dirawat tetapi setakat ini tiada lagi kes melibatkan pelajar asing di universiti (tempatan)," katanya.
Ditanya mengenai aplikasi pengesanan kontak Covid-19 yang dilaksanakan beberapa kerajaan negeri termasuklah PgCare di Pulau Pinang, SELangkah (Selangor) dan Jejak Johor (Johor), beliau berkata, tiada halangan untuk mana-mana negeri untuk mewujudkan aplikasi mereka sendiri.
Katanya, orang ramai juga tidak dihalang untuk memuat turun aplikasi berkenaan memandangkan kemungkinan peranan dan tujuannya adalah berbeza.
"Untuk kerajaan Persekutuan sendiri ada tiga aplikasi iaitu MySejahtera, MyTrace dan Gerak Malaysia. Aplikasi Gerak Malaysia ini kita akan gunakan nanti bagi mendapatkan QR Code supaya bila ke pusat beli-belah atau restoran, mereka tak perlu lagi tulis nama dan nombor telefon.
"Ini kerana ramai yang takut dan bimbang nak tulis nama mereka. Jadi, saya galakkan orang ramai supaya muat turun aplikasi-aplikasi yang diwujudkan kerajaan Persekutuan,” katanya. - Bernama