Wanita nyaris maut pokok kelapa hempap rumah

Iklan
Seorang anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja-kerja memotong pokok kelapa tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Sungai Nipah Baroh, di sini semalam.

SIMPANG LIMA - Seorang wanita terselamat dalam kejadian ribut selepas pokok kelapa yang nyaris tumbang menimpanya tersangkut pada rangka atap rumah dalam kejadian di Kampung Sungai Nipah Baroh, di sini semalam.

Kejadian jam 7 pagi itu disedari suami wanita itu, Abdullah Samad, 38, yang terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi pelepah kelapa jatuh di rumah sewa berkenaan.

Iklan
Iklan

Abdullah berkata, ketika kejadian, dia baharu melelapkan mata di bahagian ruang tamu rumah, manakala isterinya, Amalia Pardi, 32, tidur di dalam bilik.

"Kami baharu sahaja menunaikan solat Subuh dan berehat sebentar sebelum saya dikejutkan bunyi seakan pelepah jatuh menghempap bumbung.

Iklan

"Saya rasa tidak sedap hati lalu membuka tingkap rumah dan terkejut melihat batang pokok kelapa terbelah dua menimpa bumbung bilik tidur," katanya.

ABDULLAH

Abdullah berkata, dia kemudian mengejutkan isteri dan bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Iklan

Menurutnya, bumbung rumah turut rosak akibat ditimpa pokok berukuran 30 meter tersebut.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu termasuk seorang anak tunggalnya yang tidak berada di rumah ketika kejadian kerana menziarahi saudaranya di kampung berhampiran.

Pemilik rumah, Osman Marjo, 73, berkata, dia yang menetap bersebelahan rumah itu dimaklumkan Abdullah mengenai kejadian ketika sedang bersarapan.

Katanya, dia bergegas ke rumah sewa Abdullah bagi melihat kejadian terbabit dan mengambil tindakan segera termasuk menebang tujuh pokok kelapa berusia 25 tahun dan satu pokok kelapa sawit berhampiran bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin turut menziarahi dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan selain menzahirkan rasa simpati terhadap nasib menimpa mangsa sekeluarga.