Kerajaan perlu dapatkan semula cukai hilang akibat ekonomi gelap

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu bertindak mendapatkan semula hasil cukai yang lesap akibat ekonomi gelap kerana mengancam kestabilan ekosistem percukaian negara terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam satu kaji selidik yang dikendali oleh firma peneraju penyelidikan pasaran, Green Zebras, sebanyak 83 peratus responden mahu kerajaan mengambil tindakan tersebut bagi melindungi pekerjaan dan membantu pemulihan ekonomi terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP).

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Green Zebras, Steve Murphy berkata, kaji selidik itu turut mendapati sebanyak 78 peratus responden bersetuju bahawa aktiviti pasaran gelap mengancam pekerjaan dan menjejaskan prestasi perniagaan.

Beliau dalam satu kenyataan akhbar berkata, ketika rakyat Malaysia kini mengisi borang cukai pendapatan persendirian sebelum tarikh akhir 30 Jun ini, jaminan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi merupakan perkara paling dibimbangi mereka.

Iklan

"Daripada kaji selidik itu juga, rakyat Malaysia mahu kerajaan memiliki dana secukupnya bagi membiayai pemulihan ekonomi dan menjamin selamat pekerjaan mereka.

"Malahan, sebanyak 45 peratus responden berkata mereka sangat tidak atau sama sekali tidak terjamin pekerjaan mereka di dalam situasi semasa. Ini menunjukkan ketidakselamatan pekerjaan berada di tahap tertinggi dalam sepanjang masa ketika tempoh yang tidak pernah kita alami ini," katanya hari ini.

Iklan

Januari lalu, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan berkata, saiz ekonomi gelap atau shadow economy di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, iaitu kira-kira RM300 bilion.

Guan Eng berkata, jumlah itu sekiranya tidak ditangani dengan baik, bukan sahaja akan menyebabkan kehilangan pendapatan yang besar kepada negara, bahkan secara tidak langsung mencerminkan ketidakcekapan agensi dan jentera penguatkuasaan kerajaan dalam membendung isu berkaitan aktiviti ekonomi gelap.

Sementara itu, mengenai perasaan peserta kaji selidik mengenai cukai yang dikenakan kepada mereka, Green Zebras mendapati sebanyak 11 peratus menyatakan ia sangat tinggi, manakala 35 peratus berpendapat ia sedikit tinggi.

Paling menarik, katanya, satu pungutan suara seumpamanya dikendali oleh agensi itu tahun lalu mendapati bahawa bilangan lebih besar rakyat Malaysia merasakan cukai mereka terlalu tinggi sebelum berlakunya krisis Covid-19.

"Bila kita lakukan perbandingan tahun atas tahun, kami boleh merumuskan bahawa rakyat Malaysia hari ini adalah lebih bersedia dan bersungguh membayar cukai mereka berbanding tahun lalu. Ini berkaitan dengan impak pandemik global dan kefahaman bahawa pembayar cukai mesti melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membantu pemulihan negara,” katanya.

Namun begitu, katanya, pembayar cukai tidak mahu mereka sahaja memikul beban kerana mereka mahu Kerajaan meningkatkan perolehan dengan membanteras aktiviti pasaran gelap seperti penjualan rokok tidak berbayar cukai, yang mengakibatkan Kerajaan menanggung kerugian lebih RM5 bilion setahun.

"Turut menarik perhatian ialah majoriti responden merasakan kerajaan secara umumnya melakukan tugas terbaik bagi membantu negara dan rakyat menghadapi krisis Covid-19 sehingga kini," katanya.

Pungutan suara Persepsi Mengenai Cukai kelolaan Green Zebras dilakukan secara dalam talian pada Mei 2020 di Semenanjung dan Malaysia Timur dan merupakan perwakilan peringkat kebangsaan bagi keseluruhan penduduk berdasarkan lokasi, jantina, kaum dan usia.