Kongres Pembangunan Kampung Baru diadakan bulan depan

Iklan
Rina (empat dari kiri) bersama tetamu kenamaan yang hadir pada dialog berkenaan.

KUALA LUMPUR - Kongres Pembangunan Kampung Baru akan diadakan awal Februari ini sebaik sahaja keputusan kaji selidik Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru diperolehi bagi menentukan hala tuju pembangunan di perkampungan yang wujud sejak lebih 118 tahun lalu itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kongres itu sepatutnya dilaksanakan tahun lalu namun terpaksa dianjakkan berikutan keputusan kaji selidik belum dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

"Kaji selidik yang dijalankan itu adalah untuk mengetahui secara lebih tepat apa sebenarnya yang diingini penduduk di perkampungan mereka itu.

"Ini kerana kita sedia maklum terdapat beberapa isu di Kampung Baru. Ada penduduk yang setuju untuk dilaksanakan pembangunan, ada juga sebaliknya.

Iklan

"Jadi, kita mesti mencari satu penyelesaian untuk memastikan apa yang sepatutnya dinikmati penduduk dapat ditunaikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Dialog Bersama Usahawan Wanita Malaysia ‘Wanita Pemacu Ekonomi Negara’ di Hotel Premeira, di sini, hari ini.

Iklan

Hadir sama, penyanyi tersohor negara yang juga usahawan, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menurut Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, pelantikan ahli lembaga Perbadanan Kampung Baru (PKB) yang baharu telah dibuat bulan lalu.

Kementerian Wilayah sebelum ini memberitahu akan mengkaji semula Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru bagi meneruskan usaha pembangunan semula kampung berkenaan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pembangunan kampung itu perlu bagi mengurangkan kesesakan yang terlalu ketara di kawasan berkenaan.

Khalid berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan rancangan untuk mengekalkan elemen Melayu bagi mempertahankan identiti dan sejarah Kampung Baru itu sendiri.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keputusan yang dibuat kelak tidak akan meminggirkan atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan, malah memberi keuntungan kepada semua pihak yang terlibat.