PUTRAJAYA - Keputusan ujian saringan ke atas semua pegawai imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis yang terdedah dengan pelajar Thailand positif wabak koronavirus (Covid-19) didapati negatif.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun hasil ujian didapati negatif tetapi semua pegawai terbabit tetap perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.
"Apabila (pelajar) sampai di Thailand, mereka menjalani ujian dan didapati positif dan ia dimaklumkan kepada kita (Malaysia).
"Jadi pegawai imigresen terlibat ada terdedah kepada mereka sebagai kontak rapat dan mereka telah disaring.
"Setakat ini tidak ada yang positif tetapi kena patuh kepada 14 hari kuarantin kerana terdedah dengan kes positif," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai bagaimana pelajar Thailand yang didapati positif tidak menjalankan kuarantin wajib ketika memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Dr Noor Hisham berkata, perkara itu telah dipersetujui antara kedua-dua negara.
"Pihak negara Thailand telah memohon kepada kita (Malaysia) untuk mereka gunakan KLIA bagi transit dengan pelajar mereka kembali kembali ke Thailand.
"Tetapi mereka tidak ada persinggahan di mana-mana," katanya.
Terdahulu, media melaporkan enam pelajar warga Thailand berusia antara 23 dan 33 tahun yang baharu kembali dari Arab Saudi masuk ke negara Thailand menerusi pintu sempadan di Padang Besar disahkan positif Covid-19.