Kerajaan Pusat wajar bantu Kedah

Iklan
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
ALOR SETAR - Kerajaan Pusat diharap dapat membantu Kedah dalam isu tuntutan pampasan pemberhentian aktiviti pembalakan serta pengorbanan mengekalkan tanah sawah untuk bekalan beras negara.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kerajaan Pusat tidak boleh ambil sikap berdiam diri dalam isu terbabit memandangkan Kedah berkorban besar untuk manfaat negara.

Menurutnya, pihaknya sekali lagi membangkitkan dua isu berkenaan susulan cadangan berkenaan tidak mendapat perhatian sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat sebelum ini.

"Pada tahun 2018, saya pernah cadangkan kerajaan negeri menuntut pampasan atau royalti padi daripada kerajaan Pusat susulan pengorbanan Kedah mengekalkan sektor pembekalan beras negara.

"Dengan perubahan kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri, serta keterbukaan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya bawa kembali cadangan itu agar kerajaan negeri berusaha menuntut royalti beras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, ini bukanlah perkara baharu kerana ia pernah diperjuangkan Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Ini adalah masa terbaik menuntut hak Kedah yang sepatutnya sudah lama dinikmati. Ini termasuk royalti hasil hutan susulan pendedahan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung tuntutan pampasan RM1.5 bilion oleh pemegang konsesi sebagai ganti rugi konsesi balak yang dibatalkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pusat wajar campur tangan dengan berbincang bersama syarikat pembalak bagi mencari situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.

"Bila adanya bayaran royalti atau pampasan, polemik pembalakan tidak timbul lagi kerana Kedah mempunyai pendapatan tetap hasil pengorbanan negeri selama ini. Royalti beras ini sama seperti royalti minyak diperolehi Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, bagi mengekalkan status jelapang padi negara, Kedah terpaksa berkorban sejak puluhan tahun dan terpaksa mengekalkan tanah sawah, hutan dan pengairan kepada negeri jiran.

"Sejak itu kerajaan negeri kehilangan puluhan bilion ringgit akibat pengorbanan tanah sawah dan pengairan. Purata kehilangan pendapatan dianggarkan antara RM100 juta hingga RM150 juta setahun,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, kerajaan negeri turut kehilangan pendapatan kerana tidak dapat menebang balak dalam memastikan kawasan tadahan hujan bagi kegunaan empangan yang menyalurkan air ke Pulau Pinang dan Perlis tidak terjejas.

"Kerajaan negeri juga kehilangan pendapatan kerana tanah sawah tidak boleh dimajukan sebagai kawasan komersil melainkan kawasan dibenarkan.

"Disebabkan itu, kerajaan Pusat perlu hargai Kedah yang mengekalkan lebih 115,000 hektar tanah sawah sebagai kawasan strategik makanan negara selain 300,000 hektar hutan simpan di Pedu dan Ulu Muda bagi memastikan bekalan air untuk minuman dan pertanian bagi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya.

Katanya, tindakan berkenaan merugikan Kedah dari sudut pulangan ekonomi.

"Mengikut dasar sekarang, Kedah harus mengekalkan keluasan tanah sawah sebagai ‘food security’, tidak boleh dikomersialkan sewenang-wenangnya bagi tujuan perumahan dan industri meskipun urbanisasi kian meluas.

"Khazanah balak bernilai berbilion ringgit serta sumber galian di hutan simpan langsung tidak boleh dimanfaatkan meskipun kerajaan negeri punyai bidang kuasa mengubah status hutan simpan berkenaan,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berharap Muhammad Sanusi memperhalusi semula dua tuntutan berkenaan bagi menjamin punca pendapatan yang adil kepada kerajaan negeri.

"Perjuangkan kembali isu ini biarpun mengambil masa, usaha perlu diteruskan supaya Kedah menikmati hak pendapatan yang adil seperti negeri lain yang mempunyai minyak. Rundingan segera wajar dilakukan bersama kerajaan Pusat. Wang pampasan itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan peningkatan kebajikan rakyat terutama petani dan pesawah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan terdahulu bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat gagal dalam usaha ini, malah disifatkan 'lekeh' apabila cubaanya lebih bersifat politik dendam dengan serangan terhadap musuh politiknya bagi mengalih pandangan rakyat daripada isu sebenar.

"Cukup-cukuplah Mukhriz, bukan sekali tetapi dua kali diberi peluang sebagai Menteri Besar namun gagal memperjuangkan hak negeri,” katanya.