SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong tampil menjelaskan tentang sebuah video memaparkan dirinya bersama beberapa individu menari seperti yang tular dalam media sosial semalam.
Beliau berkata, majlis yang diadakan semalam itu bukan diadakan khas untuk bersuka-ria seperti didakwa pihak tertentu.
Sebaliknya, katanya, ia program yang dihadiri semua anggota badan kehakiman dan peguam dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung sempena majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019, yang kebetulan jatuh pada hari jadi beliau.
"Program itu dianjurkan Persatuan Undang-Undang Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu dan saya ke situ demi memenuhi jemputan mereka. Penganjur juga menjemput Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan semua (anggota) badan kehakiman dan perundangan.
[ARTIKEL BERKAITAN:Video tarian hakim, menteri cetus kebimbangan badan kehakiman]
"Pada majlis itu, wakil penganjur sebut hari itu juga merupakan hari jadi saya dan ia di luar pengetahuan saya. Semua mengucapkan selamat hari jadi, sekali gus meraikan hari jadi saya," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Vui Keong mengakui beliau menari bersama beberapa individu penting dalam institusi kehakiman dan perundangan negara.
"Namun, kami menari pun kerana penganjur menjemput kami ke pentas untuk menari, tetapi hanya untuk satu lagu sahaja.
"Selain itu, penganjur juga adakan persembahan lain daripada artis dalam kalangan peguam, hakim dan pegawai kehakiman, selain persembahan tarian tradisi. Ia bukan khas kepada sesiapa," katanya.
Ditanya berhubung tindakannya yang disanggah pelbagai pihak termasuk pemimpin PH, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Sempena pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019 semalam, Richard mengetuai perarakan sejauh satu kilometer bermula dari Kompleks Karamunsing ke bangunan baharu Kompleks Mahkamah Kota Kibabalu.
Semalam tular sebuah klip video menunjukkan Vui Keong bersama Richard, Tommy dan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim menari mengikut rentak lagu pada malam Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan.