Aidilfitri 2020 disambut berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ia diraikan dengan normal baharu yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa.
Pada kali ini, sambutannya sederhana kerana ramai yang berjimat-cermat dengan mengehadkan pembelian pakaian, kelengkapan rumah dan kuih-muih akibat terkesan dengan penularan koronavirus (Covid-19). Malah, aktiviti kunjung-mengunjung dan bermaaf- bermaafan juga berubah daripada bertentang mata kepada berlangsung secara dalam talian sahaja.
Normal baharu itu nampaknya mula menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia selepas negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih 60 hari sejak 18 Mac 2020.
Bagaimanapun, masih terdapat normal lama yang diamalkan ketika sambutan Aidilfitri di negara kita. Masih wujud segelintir rakyat yang gemar menyambutnya dengan bermain mercun dan bunga api pada malam raya.
Bagi Merak Jalanan, sudah sampai masanya kita menghentikan normal lama itu. Ia bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam malah membazir wang. Mereka yang mempunyai anak kecil pasti terganggu dengan dentuman kuat tidak semena-mena apatah lagi golongan senior yang tidak sihat.
Adalah lebih baik normal lama itu digantikan dengan bertakbir bersama keluarga bagi mensyukuri nikmat ALLAH kerana diberi peluang meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa pada Ramadan.
Lagipun, semua maklum bermain mercun dan bungi api itu tidak sedikit pun membawa kebaikan sebaliknya hanya masalah terutamanya apabila berlaku kemalangan. Ia bukan sahaja membawa kesedihan kepada keluarga mangsa malah membawa masalah kepada petugas kesihatan.
Tahun ini, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun cedera di tangan akibat bermain mercun. Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Mei lalu di rumah mangsa di Besut, Kuala Terengganu, Terengganu. Akibatnya jari telunjuk, jari tengah dan jari manis di tangan kanan mangsa melecur.
Sementara di Pagoh, Kluang, Johor pula, seorang anggota tentera berpangkat Staf Sarjan hilang empat jari kanannya akibat terkena letupan mercun bola pada 16 Mei lalu. Kejadian menyebabkan mangsa berusia 40 tahun itu kehilangan jari telunjuk, hantu, manis dan kelingking di tangan kanannya.
Sedih bukan apabila kita mendengar berita sebegini? Sepatutnya ketibaan Syawal disambut dengan kegembiraan dan bukannya kesedihan yang menyeret kepada penyesalan seumur hidup.
Tambahan pula, kes kemalangan melibatkan mercun itu bukan baru berlaku sebaliknya sudah berpuluh tahun lamanya malah ramai yang mengetahuinya kesan dan akibat daripada aktiviti tersebut.