Bekas pengendali Barcelona, Ernesto Valverde menyifatkan perlawanan tanpa penonton bakal memberi kesan negatif dalam jangka panjang.
Katanya, aksi tanpa pemain ke-12 untuk beberapa perlawanan mungkin boleh diterima industri yang memiliki jutaan penyokong itu.
Namun katanya, adalah sukar sekiranya normal baharu itu berterusan sehingga ke penghujung musim kerana akan memberi kesan secara tidak langsung kepada pemain, jurulatih dan pegawai pertandingan.
"Secara peribadi sebelum ini saya bersama pemain pernah melalui suasana perlawanan tanpa penonton yang pengakhiran situasinya memberi kesan negatif kepada keseluruhan persembahan pasukan.
"Tanpa penonton untuk beberapa perlawanan mungkin masih boleh diterima, tapi sekiranya melibatkan 100 perlawanan saya tidak nampak sebarang kesan positif kepada perkembangan pemain,” katanya.
Saingan La Liga kembali bernafas selepas kerajaan Sepanyol mengendurkan beberapa sekatan setelah pandemik Covid-19 menjejaskan aktiviti di negara itu.
Dijangkakan baki saingan La Liga akan disambung pada 8 Jun depan dengan pengenalan prosedur operasi standard (SOP) baharu antaranya perlawanan tanpa penonton.
Tambah Valverde, mental pemain secara realiti belum cukup bersedia beraksi dengan normal baharu berkenaan walaupun semua menyambut positif pendekatan memutuskan rantaian Covid-19 itu.
"Sebenarnya ini juga detik sukar untuk pemain apatah lagi melibatkan aspek kesihatan berkaitan orang yang hampir dengan kita.
"Kita mengalami sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya, dan mungkin membuat kami hanya melihat kepada melakukan pekerjaan yang lebih penting sahaja,” katanya.