ADUN diarahkan kosongkan kerusi boleh cabar enakmen negeri

Iklan
Nik Ahmad Kamal

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang dikatakan bakal mengosongkan kerusi selepas Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Chow Kon Yeow memaklumkan akan membentangkan usul tersebut pada sidang DUN akan datang boleh mencabarnya di mahkamah.

Profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, walaupun kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 yang antara lain memperuntukkan ADUN yang keluar parti atau dilucutkan keahlian hendaklah mengosongkan kerusi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, kes Nordin Salleh melawan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1992 boleh dijadikan rujukan.

"Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin Salleh melawan Dewan Undangan Negeri Kelantan memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Iklan

"Sama seperti kes di Pulau Pinang, saya yakin ADUN yang terlibat akan mengambil tindakan sama," katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, kerajaan Pulau Pinang akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Teluk Bahang dan Seberang Jaya pada persidangan DUN Pulau Pinang yang akan datang.

Iklan

Kon Yeow berkata, ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan PH negeri selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, mesyuarat itu diadakan susulan pengumuman dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang - ADUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang Zolkifli Md Lazim - menarik balik sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH pada Sabtu lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua ADUN Bersatu perlu kosongkan kerusi

Dua ADUN Bersatu di Pulau Pinang tarik balik sokongan

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, mahkamah mempunyai pertimbangan adil dalam membuat keputusan.

"Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan didapati perlu untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen, DUN atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.

"Mungkin atas asas ini juga mahkamah akan membuat keputusan terhadap kes wakil rakyat yang melompat parti," katanya.

Jelasnya, Pilihan Raya Kecil DUN hanya boleh dijalankan sekiranya ADUN tersebut tidak membuat permohonan injunksi bagi kes itu.

"Dalam kes ini sudah pasti DUN Pulau Pinang akan mengusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengadakan PRK berikutan kekosongan kerusi.

"Akan tetapi sekiranya ADUN itu membuat permohonan injunksi, mahkamah akan mengarahkan SPR tidak mengadakan PRK sehingga keputusan mahkamah diputuskan," katanya.