FAM tidak akan berlembut lagi

Iklan
Laporan Sinar Harian semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berlembut lagi dalam sebarang isu berhubung tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai pasukan saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada masa depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM sudah cukup berlembut dalam soal berkenaan sebelum ini, namun malangnya isu berkenaan kerap kali berulang semula sehingga ke hari ini.

Iklan
Iklan

Justeru menurutnya, FAM akan bertindak tegas berhubung perkara berkenaan pada masa depan khususnya terhadap pihak terlibat sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun ini menerusi pemotongan mata dan sebagainya.

"Kita sering menerima masalah tunggakan gaji melibatkan pemain serta pegawai pasukan.

Iklan

"Kebiasaannya, kita akan mengambil langkah yang rasional dan keputusan yang praktikal demi kepentingan semua pihak yang terlibat

"Bagaimanapun, selepas ini kita akan bertegas dalam perkara ini dan tidak akan berlembut lagi kerana kita sentiasa lakukan yang terbaik untuk selesaikan masalah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Semalam Sinar Harian melaporkan beberapa kes tunggakan gaji masih berlaku dalam kalangan pasukan Liga-M sehingga boleh menjejaskan imej badan induk bola sepak negara itu pada masa depan.

Terbaharu, isu melibatkan tunggakan gaji bekas pemain import Kelantan, Cassio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28 yang menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melunaskan tunggakan gaji berkenaan.

Selain itu, isu tunggakan gaji melibatkan skuad Kedah baru-baru turut mendapat perhatian dalam kalangan peminat sukan tempatan.

Sementara itu, Stuart berkata, FAM setakat ini masih belum menerima laporan terbaharu tunggakan gaji daripada pemain dan jurulatih.

"FAM tidak ada terima laporan masalah seumpamanya dan kita harap isu ini tidak timbul lagi pada masa depan,” katanya.