TEMERLOH - Penemuan sebilah parang panjang di lokasi kemalangan di Jalan Ulu Jenut, Kuala Krau di sini tiada kaitan dengan kematian seorang lelaki di tempat tersebut, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, parang tersebut dibawa Mohamad Akhbar Abd Manaf, 24, sebelum terbabit kemalangan yang meragut nyawanya.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantis dalam perjalanan dari arah Pekan Kuala Krau menghala ke Jenderak Utara.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Yusri berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan," katanya.
Gambar kemalangan turut tular di media sosial sejak malam tadi dan ada yang mengaitkannya dengan kes bunuh susulan penemuan parang di lokasi kejadian.
Bagaimanapun maklumat tersebut telah dikemas kini dengan memaklumkan kejadian melibatkan kemalangan motosikal yang terbabas sehingga meragut nyawa penunggangnya.