IPOH - Kerajaan Perak akan mempertimbangkan sumbangan khas kepada seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang menjadi 'hero' menyelamatkan empat remaja hampir lemas di Kampung Gajah, Rabu lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil menyelamatkan kesemua mangsa yang dihanyutkan arus deras itu amat wajar dipuji.
Menurutnya, reaksi berani ditunjukkan Muhammad Nor Imran itu hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tidak mementingkan diri sendiri kerana sanggup membahayakan nyawa sendiri untuk menyelamatkan orang lain.
"Bagi pihak jentera pentadbiran kerajaan negeri dan seluruh rakyat Perak, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat Muhammad Nor Imran atas tindakan berani menyelamatkan empat remaja wanita daripada lemas di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah pada Rabu lalu.
"Pentadbiran kerajaan negeri akan mempertimbangkan sumbangan khas kepada saudara Muhammad Nor Imran sebagai menghargai keberanian dan jasa beliau menyelamatkan kesemua mangsa," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Nor Imran yang juga Siak Masjid Aziziah, Batu 10, Hutan Melintang itu sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan kesemua mangsa yang hanyut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Guru selamatkan lima remaja hanyut
Dalam pada itu Ahmad Faizal mendoakan kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut segera pulih.
Kisah Muhammad Nor Imran semalam juga tular di media sosial dan mendapat perhatian beberapa pihak yang memuji keberanian individu tersebut.
Antara yang terawal memberikan penghargaan kepada anggota Jabatan Amal Pas Bagan Datuk itu adalah Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.