Bil air tinggi bukan sebab salah kira

Iklan
Wan Rasdi (tengah) memberi penerangan kepada seorang pengguna yang datang ke kaunter SAINS untuk bertanyakan berkenaan bil air tinggi.

SEREMBAN - Penggunaan air yang tinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan bil air pengguna di negeri ini meningkat.

Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Wan Rasdi Wan Ismail berkata, peningkatan berlaku disebabkan penggunaan jumlah air yang mendadak, bukan salah pengiraan dan isu itu turut membabitkan seluruh negara.

Iklan
Iklan

Katanya, SAINS menerima banyak aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil yang dikatakan lebih tinggi daripada biasa.

"Mereka perlu sedar bahawa bil tinggi akibat peningkatan penggunaan air dengan kadar berganda sepanjang PKP, kerana masing-masing melakukan aktiviti sendiri termasuk menyediakan kolam mandi untuk anak-anak.

Iklan

"Pengguna perlu melihat penggunaan air dan jika berhemah mungkin bil yang diterima rendah, namun jika sebaliknya mereka perlu membayar kos penggunaan yang lebih tinggi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SAINS dekat sini hari ini.

Tambahnya, bacaan meter di kediaman dihentikan sementara pada 18 Mac sehingga 5 Mei lalu berikutan PKP.

Iklan

Katanya, akibat daripada pemberhentian sementara itu, SAINS telah mengambil kaedah mengeluarkan bil pada Mac dan April mengikut anggaran jumlah penggunaan tiga bulan sebelumnya.

"Jadi apabila bacaan meter kembali beroperasi pada 6 Mei lalu, pihak kita telah mendapat bacaan meter sebenar bagi Mei ini dan pengguna mula tidak berpuas hati dengan bil yang tinggi sedangkan itu bacaan sebenar berdasarkan pemeriksaan meter di rumah bukan lagi bil anggaran," katanya.

Sementara itu, Wan Rasdi memberitahu mereka yang rasa terbeban untuk menjelaskan pembayaran bil air disebabkan pendapatan mereka terjejas akibat PKP, boleh datang ke Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan untuk memohon bayaran ansuran.

Katanya, SAINS akan meneliti masalah mereka yang terkesan akibat PKP dan sekiranya layak boleh membuat bayaran secara ansuran termasuk golongan asnaf.