SUNGAI PANJANG - Lima beranak di Kampung Tebuk Jaya, Parit 13 di sini hidup serba daif di sebuah rumah usang yang sebahagiannya hanya ditutupi atap nipah dan tidak mempunyai tandas.
Lebih menyukarkan rumah di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu sentiasa digenangi air setiap kali hujan.
Rahmah Idris, 60, berkata, mereka menggunakan bilik air di luar rumah yang hanya ditutupi kain dan daun nipah dan menunggu masa roboh.
"Kayu rumah berusia lebih 70 tahun yang semakin mereput menyebabkannya tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang berlaku sesuatu tidak diingini selain ancaman haiwan berbisa seperti ular," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, sebelum ini dia dan suaminya, Rosda Arsad, 58, serta anak-anak mereka menetap di Rompin, Pahang sebelum berpindah ke rumah peninggalan arwah bapanya itu sejak dua tahun lalu.
"Atas kesempitan hidup dilalui semasa di sana (Rompin), saya bersama empat anak ambil keputusan pulang ke kampung bagi menjalani kehidupan baharu," katanya.
Menurut Rahmah, suaminya bersama dua lagi anak lelaki mereka masih berada di Rompin dan menjalankan kerja-kerja sawah dengan pendapatan tidak menentu.
"Dua anak kami sudah berkahwin manakala empat anak yang tinggal dengan saya dua daripada mereka bekerja mengait kelapa sawit.
"Seorang anak perempuan saya tidak bekerja dan seorang anak lelaki berusia 12 tahun masih bersekolah," katanya.
Sementara itu, kesengsaraan keluarga itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya yang berkunjung ke rumah terbabit.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 13 Sungai Panjang, Mohamad Fauzi Saladri berkata, perkara itu sudah dalam tindakan Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar.
"Saya dimaklumkan bantuan membina tandas baharu untuk kegunaan keluarga ini sedang dalam tindakan lanjut selain menunggu bantuan lain dan maklum balas daripada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.