MELAKA TENGAH - Jemaah masjid yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid negeri, Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini sebak dan gembira selepas lebih dua bulan tidak dibenarkan berbuat demikian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Pesara polis, Rosli Mohd Hashim, 69, antara 40 jemaah yang dipilih dan dibenarkan mendirikan solat Jumaat di masjid itu hari ini.
Dia yang menetap di Bukit Baru berkata, perasaannya sukar digambarkan apabila pihak pengurusan masjid menghubunginya dan memaklumkan beliau terpilih untuk bersama jemaah lain untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah.
"Doa saya yang tidak putus untuk menjejak kaki di rumah ALLAH akhirnya dimakbulkan pada hari Jumaat, penghulu segala hari lebih-lebih lagi dalam suasana bulan kemaafan iaitu bulan Syawal.
"Alhamdulillah dapat juga diberikan peluang menjejak kaki ke masjid setelah berbulan-bulan tidak dapat melakukan rutin harian sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.
"Syukur, saya pun tak tahu adakah ini kali terakhir saya dapat bersolat jemaah di masjid atau sebaliknya memandangkan umur pun semakin berusia," katanya.
Di sebalik kegembiraan, Rosli turut bersedih kerana jemaah lain terutama rakan-rakannya tidak dapat menunaikan solat Jumaat berjemaah.
"Saya berharap wabak Covid-19 berakhir tidak lama lagi supaya kita semua dapat solat Jumaat berjemaah," katanya.
Bagi penolong pegawai perubatan, Raja Anuar Raja Majid, 57, berkata, kegembiraan itu sukar digambarkan apabila dipilih untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid setelah beberapa bulan masjid ditutup kepada orang ramai.
"Bila ada kelonggaran ini, saya amat bersyukur dan rasa gembira diizinkan ALLAH SWT untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.
"Harap diteruskan lagi kalau boleh lebih ramai lagi bagus, moga ALLAH permudahkan urusan kita dan Covid-19 dapat dihapuskan segera supaya kita dapat hidup secara normal," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Azahan Md Samat berkata, berdasarkan pemerhatiannya di masjid itu mendapati jemaah berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JAIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, sekiranya perkara yang sama berlaku di masjid lain negeri ini, pihaknya optimis untuk menambah bilangan jemaah melebihi 40 orang pada masa akan datang.
"Saya masih belum mendapat laporan di masjid mahupun surau yang dibenarkan untuk menjalankan solat berjemaah dan jika semuanya mematuhi SOP yang ditetapkan, tidak mustahil bilangan jemaah akan ditambah.
"Bagaimanapun, cadangan penambahan jemaah itu perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri terlebih dahulu," katanya.
Terdahulu Sinar Harian menyiarkan kira-kira 212 buah masjid termasuk surau yang diberikan tauliah solat Jumaat di Melaka akan dibenarkan mendirikan solat berjemaah pada hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Melaka benarkan solat Jumaat hari ini, terhad 40 jemaah
Bagaimanapun, pelaksanaannya hanya terhad kepada 40 orang jemaah selain perlu mematuhi ketetapan diputuskan.