KULAI - Selepas tular dan mendapat kecaman netizen, seorang lelaki yang memuat naik kenyataan memperlekeh kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di negeri ini di Facebook akhirnya menyerah diri kepada polis 19 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu menyerah diri jam 9 pagi selepas empat hari diburu pihak polis.
"Kita merampas telefon bimbit miliknya, namun suspek yang ditahan reman bermula 20 sehingga 22 Mei lalu sudah diberi jaminan polis.
"Ini kerana sebelum ini, kita masih menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesahkan suspek ini adalah pemilik akaun Facebook tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya telah memperoleh laporan pengesahan SKMM semalam.
"Kita akan merujuk kertas siasatan kepada Pendakwa Raya negeri pada Ahad ini untuk arahan lanjut.
"Kemungkinan pendakwaan dilakukan Isnin ini," katanya.
Pada 16 Mei lalu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi membuat laporan polis berhubung kenyataan jelek pemilik akaun Facebook milik seorang individu susulan keputusan kerajaan negeri membenarkan 12 jemaah menunaikan solat di masjid.