ANGGOTA kumpulan Shiro, Ajak dan Shahrol sama-sama mengumumkan pengunduran mereka sebagai penyampai radio dan bakal kembali aktif mewarnai industri seni selepas ini.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 33 berkata, kontraknya dengan stesen radio Hot FM bakal berakhir pada penghujung Februari ini.
Bagaimanapun dia tidak berhasrat untuk menyambung kontrak, walaupun sudah ditawarkan oleh stesen radio berkenaan dan mahu kembali ke dunia lakonan selepas ini.
"Sejak tiga tahun terlibat sebagai penyampai radio, sepanjang tempoh itulah saya tidak menerima apa-apa tawaran berlakon.
"Kalau ada yang tawarkan pun, bila tahu saya perlu bertugas pada waktu pagi, mereka sendiri yang tarik semula tawaran itu.
"Lagipun goal saya tahun ini adalah saya mahu buat sesuatu yang baru.
"Jadi bila kontrak saya tamat, saya rasa cukuplah pengalaman sebagai penyampai kerana saya dah rindu nak berlakon dan mahu kembali mewarnai industri seni," katanya yang mengakui tidak mendapat rehat yang cukup selepas menjadi penyampai radio.
Selain mahu kembali mewarnai industri seni, bapa kepada tiga orang anak ini berkata, dia mahu menikmati masa bersama keluarga dan 'masa'nya yang terhad sebelum ini.
"Sebelum ini Isnin sampai Jumaat saya akan terlibat dengan tugas sebagai penyampai. Sabtu buat promo. Ahad sebagai pengacara.
"Bayangkan anak saya sekolah pun saya tak ambil cuti hantar dia dari darjah satu hingga tiga. Jadi saya kira inilah masanya saya bayar semula masa-masa yang hilang.
"Saya nak rehat, tidur dan makan banyak-banyak," ujarnya.
Ditanya mengenai tahap kesihatannya sekarang selepas dikhabarkan sakit teruk, Ajak berkata, berat badannya sukar naik, biarpun dia makan.
"Antara masalah utama saya adalah saya kuat berpeluh kerana kadar metabolisma yang tinggi.
"Doktor ada suggest untuk jalani pembedahan, tapi saya harap bila dapat rehat yang cukup dan makan banyak, badan saya akan naik," jelasnya.
Sementara itu, serentak dengan pengumuman Ajak yang bakal berundur sebagai penyampai ketika sidang media Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM2018), malam tadi, Shahrol, 35, turut mengumumkan pengundurannya dari stesen radio Suria FM.
Jelas Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, dia secara rasmi sudah tidak berkhidmat lagi pada 11 Januari lalu.
Bagaimanapun Shahrol enggan memberitahu sama ada dia berhenti atau pun diberhentikan.
"Saya pun tak tahu di mana silapnya, cuma apa yang boleh saya katakan, saya tidak lagi bersama Suria FM sejak 11 Januari lalu, selepas enam bulan bersama stesen itu.
"Jadi selepas ini saya mahu memberi tumpuan terhadap kerjaya saya dan syarikat produksi saya iaitu Bussido Production yang bertapak di Johor Bharu.
"Bagi saya setiap perjalanan yang telah diatur oleh ALLAH SWT ini ada hikmahnya. Saya terima dan berlapang dada," katanya.